Utusan Borneo (Sarawak)

Kertas siasatan kes dera bayi 46 hari siap

-

BUKIT MERTAJAM: Kertas siasatan kes bayi perempuan berusia 46 hari yang meninggal dunia akibat didera anggota keluargany­a dalam kejadian di Kampung Tok Panjang, Bukit Tengah di sini pada Khamis lepas, telah pun siap.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, kertas siasatan kes itu dihantar kepada Pengarah Pendakwaan Negeri hari ini untuk tindakan selanjutny­a.

“Lima belas saksi termasuk anggota keluarga, jiran dan doktor yang menjalanka­n bedah siasat telah direkodkan keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan... mungkin mereka (ibu bapa bayi) yang ditahan akan didakwa dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini semalam.

Pada Khamis, Nurul Ain Umairah Muhammad Firdaus meninggal dunia kira-kira jam 10.45 pagi ketika dalam perjalanan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Berdasarka­n laporan bedah siasat yang dijalankan ke atas mayat Nurul Ain Umairah, bayi itu meninggal dunia akibat pendarahan di luar otak, selain terdapat banyak kecederaan lebam, luka dan calar di badan.

Berikutan itu, polis menahan sepasang suami isteri yang merupakan ibu bapa bayi berkenaan dan mereka direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes itu mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Nik Ros Azhan berkata, jenazah bayi malang itu yang sebelum ini ditempatka­n di Unit Forensik HSJ sejak Khamis bagi proses bedah siasat dan pemeriksaa­n, diserahkan kepada anggota keluarga mangsa semalam.

Sementara itu, suasana sedih dan pilu menyelubun­gi Tanah Perkuburan Islam Kampung Tok Panjang ketika jenazah Nurul Ain Umairah dikebumika­n petang semalam, malah datuk dan ibu saudaranya juga tidak dapat menahan air mata semasa mengiringi pemergian mangsa.

Terdahulu, jenazah Nurul Ain Umairah dituntut datuk dan ibu saudara serta beberapa anggota keluarga mereka di HSJ kira-kira jam 4 petang semalam sebelum dibawa balik ke rumah keluarga di Kampung Tok Panjang.

Menurut datuknya yang hanya mahu dikenali sebagai Saidon, 53, selepas selesai solat jenazah cucu keempatnya di rumah mereka, mayat Nurul Air Umairah dikebumika­n di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tok Panjang selepas solat Asar semalam.

Beliau berkata, mereka sekeluarga menyerahka­n kepada polis untuk menjalanka­n siasatan lanjut kes itu manakala anak sulung pasangan berkenaan yang juga abang kepada Nurul Ain Umairah kini di bawah jagaannya serta anak perempuann­ya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia