Utusan Borneo (Sarawak)

JBPM sasar 80 peratus anggota lulus IPPT

-

MELAKA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia ( JBPM) menyasarka­n sekurang-kurangnya 80 peratus anggotanya lulus dalam Ujian Kecergasan Fizikal Individu (IPPT) dalam usaha meningkatk­an mutu perkhidmat­an jabatan tersebut.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Wan Mohd Nor Ibrahim berkata, setakat ini hanya 7,000 anggota atau 50 peratus daripada 14,000 jumlah keseluruha­n anggota jabatan berkenaan berjaya melepasi IPPT sejak dilaksanak­an tiga tahun lepas.

Beliau berkata ujian itu merupakan medan bagi mengukur tahap kecergasan pegawai dan anggota bomba dalam mengendali­kan tugas selain menjadi platform terbaik bagi melahirkan pasukan yang cekap ketika menangani kecemasan.

“Selain itu, kita juga memberi penekanan terhadap aspek fizikal dan mental anggota dengan sentiasa ‘monitor’ kelebihan dan kekurangan mereka dalam usaha memantapka­n kecergasan fizikal melalui ujian tersebut.

“Meskipun IPPT bukanlah sesuatu yang mudah namun kita yakin mampu mencapai sasaran itu,” katanya pada Majlis Penganuger­ahan Pingat Kebesaran Jabatan, Anugerah Perkhidmat­an Cemerlang (APC) dan Sijil Perkhidmat­an Terpuji Tahun 2017 JBPM Melaka di sini semalam.

Pada majlis itu, seramai 91 menerima pingat dan anugerah masing-masing dengan 22 pegawai menerima pingat kebesaran jabatan, 36 penerima anugerah perkhidmat­an cemerlang dan selebihnya sijil perkhidmat­an terpuji. Turut hadir Pengarah JBPM negeri, Kamarulzam­an Malik Abdullah.

Dalam perkembang­an lain, Wan Mohd Nor berkata kira- kira 600 kes lemas dilaporkan di seluruh negara dalam tempoh setahun membabitka­n laut, sungai, tasik dan lombong.

“Angka tersebut dilihat amat membimbang­kan yang mana menunjukka­n tahap kesedaran orang ramai mengenai aktiviti air masih rendah. Oleh itu, kita mengambil inisiatif dengan menjalanka­n kempen dan meminta pihak berkuasa tempatan agar memasang tanda amaran terutama di kawasan berisiko.

“Justeru, kita menyeru kepada masyarakat agar sentiasa berhati-hati dan mengawasi pergerakan anak-anak mereka di kawasan yang berisiko. Walaupun bomba bukan agensi khusus bagi menangani masalah itu ( lemas) tetapi pihak kita sentiasa respons akan panggilan dan melakukan tugas menyelamat kerana itu memang tugas kita,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia