Utusan Borneo (Sarawak)

Jangan bermain politik di masjid: Tengku Abdullah

-

ROMPIN: Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah semalam bertitah supaya semua pentadbir dan anggota masjid tidak bermain politik bagi menjaga kesucian dan kemuliaan tempat ibadah.

Baginda bertitah tanggungja­wab memelihara kesucian masjid perlu dilaksanak­an secara bersama oleh penduduk yang turut menggunaka­n masjid berkenaan dan bukan diletakkan di bahu mereka yang dilantik sebagai pentadbir semata-mata.

“Perjalanan masjid harus diatur dengan baik dan bagi masjid baharu, pilih ahli pentadbir yang tepat... jangan pilih yang sekadar hendak menggunaka­n masjid sebagai platform atau batu loncatan untuk karier masing-masing.

“Saya tak mahu ada yang berpuak-puak atau ada sifat tidak percaya dalam diri. Kalau ke masjid datang untuk beribadat dan bukan mengumpat, mencela atau mengata... jika hendak juga, elok keluar dan pergi ke bawah pokok atau ke mana-mana asalkan bukan di masjid,” tegas baginda.

Tengku Abdullah bertitah demikian selepas merasmikan majlis pecah tanah masjid baharu Kampung Sungai Puteri di sini, se- malam, yang turut dihadiri Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandaria­h.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Muhammad Safian Ismail dan Anggota Parlimen Rompin Datuk Seri Hasan Arifin.

Masjid baharu yang dapat memuatkan 2,000 jemaah pada satu-satu masa itu dibina dengan kos RM7 juta melibatkan dua fasa pembinaan yang dijangka siap pada September 2019.

Tengku Abdullah betitah masyarakat juga perlu memainkan peranan melapor- kan kepada polis atau majlis agama jika berlaku kegiatan politik di masjid.

“Saya mahu masjid benar-benar suci... tidak ada perasaan berbelah, rasa berbeza atau orang ini topinya (politik) biru, kuning atau hijau. Masuk masjid perlu rasa tenang dan kecualikan daripada masalah politik,” titah baginda.

Pada perkembang­an lain, Tengku Abdullah juga menzahirka­n rasa syukur dengan kejayaan pembanguna­n Islam di Pahang, yang disifatkan baginda sebagai hasil kerjasama semua pihak di negeri ini.

Titah baginda, kejayaan itu juga membolehka­n rakyat negeri ini menikmati kemudahan yang baik seperti pembinaan masjid yang cantik, sempurna dan selesa yang diharapkan akan menjadi pemangkin semangat untuk mereka sama-sama mengimarah­kannya.

“Kejayaan ini bukan terletak pada sultan atau mufti semata- mata tetapi juga sokongan rakyat yang sentiasa patuh dan mengikut pandangan serta arahan daripada pihak istana.

“Saya bersyukur kerana boleh merasai pengurusan hal berkaitan Islam di Pahang begitu terurus,” titah baginda. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia