Utusan Borneo (Sarawak)

Salah satu minggu terbaik dalam hidup saya: Federer

-

ROTTERDAM, Belanda: Roger Federer meraikan kepulangan ke ranking nombor satu dunia dengan memenangi kejuaraan Terbuka Rotterdam, kejuaraan yang ke-97 dalam kerjayanya dan mengisytih­arkan ia sebagai “Salah satu minggu terbaik dalam hidup saya” Ahad lepas.

Jaguh dari Switzerlan­d berusia 36 tahun itu, yang juga pemain nombor satu dunia yang paling tua dalam sejarah, mudah menewaskan Grigor Dimitrov dari Bulgaria 6-2 dan 6-2 di final.

Dalam era Terbuka, hanya Jimmy Connors dari Amerika Syarikat (AS) yang memenangi lebih banyak kejuaraan – 109.

“Minggu yang hebat sekali,” kata Federer yang juga pilihan pertama kejohanan. “Sasaran pada awal minggu ialah untuk melangkah ke separuh akhir. Ia sememangny­a luar biasa. Saya benar-benar gembira.”

“Ia luar biasa sekali untuk menjadi pemain nombor satu dunia sekali lagi selepas enam tahun – ini adalah salah satu minggu terbaik dalam hidup saya.”

Federer secara rasmi menduduki tangga teratas dunia, kali terakhir beliau di posisi itu pada Oktober 2012 Isnin lepas.

Beliau bermain dua kejohanan tahun ini dan menang kedua-dua kejohanan – muncul juara Terbuka Australia buat kali keenam pada bulan Januari.

“Saya menyimpan yang terbaik untuk terakhir,” tambah Federer, yang memiliki rekod 12-0 musim ini sebelum terbang pulang bersama keluargany­a.

“Saya mempunyai perlawanan pertama dan terakhir yang hebat di sini. Di antaranya adalah perlawanan yang mendebarka­n untuk kembali ke ranking nombor satu tetapi saya dapat mengawal debaran dan jangkaan.”

Federer berusia tiga tahun lebih tua dari Andre Agassi dari AS yang sebelum ini memegang rekod pemain nombor satu dunia paling tua pada 2003.

Merujuk rekod 109 kejuaraan Connors, Federer berkata sasaran utama beliau adalah untuk memenangi kejuaraan buat kali ke-100.

“97 masih belum 100, anda harus kekal cergas jika mahu melangkah ke final dalam setiap kejohanan. Semuanya boleh berubah dengan cepat,” kata Federer.

Kemenangan Ahad lepas adalah yang ketiga buat Federer di Rotterdam selepas 2005 dan 2012. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia