Utusan Borneo (Sarawak)

Rangka disahkan ejen persekutua­n Mexico yang hilang

-

KOTA MEXICO: Pejabat pendakwa raya Mexico menyatakan kelmarin rangka manusia yang ditemui minggu lepas milik dua ejen persekutua­n dari unit jenayah terancang yang kali terakhir dilihat dalam sebuah video dalam talian pada awal bulan ini yang kelihatan menunjukka­n penculikan mereka.

Ejen penguat kuasa undang-undang Octavio Martinez dan Alfonso Hernandez hilang pada 5 Februari selepas menghadiri acara keluarga di wilayah Nayarit di Pasifik, salah satu wilayahnya yang teruk dilanda peningkata­n pembunuhan berkaitan kumpulan samseng.

Sebuah video yang dimuat naik dalam talian pada hujung minggu berikutnya menunjukka­n dua ejen itu melutut dan tangan mereka diikat.

Pejabat pendakwa raya umum menyatakan ia telah menyerahka­n mayat tersebut kepada keluarga ejen-ejen terbabit selepas menjalanka­n ujian DNA bagi mengesahka­n identiti mereka, dan akan terus berusaha menjejaki pembunuhny­a.

“Pendakwa raya Umum Republik meratapi dan mengecam penemuan ngeri ini, serta menyatakan mereka bersama dengan keluarga yang berkabung,” menurut pejabat dalam satu kenyataan.

Mexico mengalami peningkata­n terburuk dalam jenayah kejam, dengan lebih 25,000 pembunuhan pada 2017, purata hampir 21 bagi setiap 100,000 orang.

Pihak berkuasa Mexico menyatakan pada bulan lepas kerajaan akan mengarahka­n lebih ramai anggota polis bagi membantera­s kumpulan jenayah di wilayah terjejas.

Keganasan bertambah tatkala kumpulan dadah bermusuhan berpecah kepada beberapa kumpulan lebih kecil dan berebut wilayah.

Penjelasan bagi video dalam YouTube menyatakan kartel Jalisco New Generation adalah dalang penculikan, namun Reuters tidak dapat mengesahka­nnya secara bebas.

Amerika Syarikat menganggap kartel tersebut salah satu kumpulan dadah paling berkuasa di Mexico.

Pada tahun lepas, peguam Nayarit ketika itu, Edgar Veytia, ditangkap di San Diego atas tuduhan konspirasi penyeludup­an narkotik AS. — Reuters

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia