Utusan Borneo (Sarawak)

Wayang pacak imbau nostalgia era 70-an dan 80-an

-

RANAU: Penduduk Kampung Sinarut Baru di sini teruja apabila berpeluang merasai kemeriahan menonton wayang secara percuma menerusi tayangan wayang pacak.

Bagi generasi yang membesar pada era 1970-an dan awal 1980-an, kemunculan semula wayang pacak sememangny­a mengimbau nostalgia indah lebih 30 tahun yang lalu.

Pengerusi JKKK Sinarut Baru Walter James Tan, 50, berkata peluang menonton semula wayang pacak mengimbas betapa meriahnya suasana ketika buat pertama kali layar putih Jabatan Penerangan terpacak di padang Kampung Sinarut Baru pada tahun 1978.

“Masih segar dalam ingatan, sementara menunggu wayang pacak bermula, saya bersama rakan sebaya yang lain seronok bermain dan berkejar- kejaran.

“Saya jarang dapat peluang menonton televisyen pada ketika itu kerana kebanyakan rumah di Kampung Sinarut Baru belum mempunyai televisyen.

“Seingat saya, kalau adapun peluang untuk menonton televisyen, hanya pada setiap hari Jumaat dan Sabtu sahaja,” katanya.

Manakala bagi Giwol Solumbi, 53, sekitar 1970-an, wayang pacak menjadi hiburan yang sangat popular namun kini sudah hampir tidak kelihatan lagi kerana kecanggiha­n teknologi.

“Kemunculan semula wayang pacak di era teknologi canggih pada masa kini tetap kekal relevan kerana ia mempunyai sejarah dan nilainya yang tersendiri,” katanya.

Program anjuran bersama Jabatan Penerangan Ranau, UPPM DUN Paginatan dan JKKK Sinarut Baru di dewan mini kampung itu dihadiri lebih 100 penduduk.

Turut menonton sama pada malam itu ialah PPM Paginatan Georgina George dan Pegawai Penerangan Ranau Sylvia Sumping.

Sementara itu, Georgina dalam ucapan ringkasnya berkata kemunculan semula wayang pacak merupakan landasan terbaik mengeratka­n hubungan antara masyarakat berbilang kaum.

“Dengan ada program seumpama ini, penduduk kam- pung serta masyarakat sekitar dapat duduk bersama sambil beramah mesra tanpa mengira peringkat umur dan ideologi politik,” katanya.

Menurutnya, generasi muda hari ini perlu tahu sejarah kewujudan wayang pacak di negara ini selain merasai sendiri kemeriahan­nya ketika menonton dalam satu kolompok yang besar.

“Pada era 70- an liputan siaran televisyen RTM hitam putih masih belum meluas sehingga ke kawasan pedalaman di negara ini termasuk Sabah dan Sarawak.

“Pada ketika itulah, kerajaan menerusi Jabatan Penerangan telah memperkena­lkan wayang pacak sebagai salah satu alat sebaran am informasi kerajaan kepada rakyat,” jelasnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia