Utusan Borneo (Sarawak)

MTW PBB akan kemuka cadangan tambah calon wanita dalam PRU14

-

KUCHING: Majlis Tertinggi Wanita (MTW) Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan mengemukak­an cadangan agar bilangan calon wanita daripada parti itu yang akan bertanding di kerusi Parlimen di Sarawak dalam Pilihan Raya Umum Ke-14, (PRU14) ditambah.

Ketua Pergerakan Wanita PBB Dato Sri Fatimah Abdullah berkata bagaimanap­un keputusan berhubung perkara itu ditentukan Pengerusi Barisan Nasional (BN)yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Kita boleh sentiasa mengemukak­an permohonan (penambahan bilangan calon wanita), tetapi keputusan terletak di tangan Perdana Menteri selaku pengerusi BN,dalam konteks PRU.

“Kita akan terus berusaha ke arah itu, tetapi apabila sampai harinya nanti, yang membuat keputusan adalah Perdana Menteri, itu prerogatif beliau sebagai pengerusi BN,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengeru­si mesyuarat bersama ahli MTW PBB dan Majlis Wanita dan Keluarga Sarawak (MWKS) di pejabatnya di bangunan Baitulmakm­ur di sini semalam.

Fatimah berkata cadangan itu akan dikemukaka­n secara bertulis kepada Najib pada masa yang dikira sesuai dan selepas pandangan semua pihak dalam parti diambil kira.

Beliau menambah, pemilihan calon daripada PBB dilakukan secara konsensus melibatkan tiga komponen utama parti iaitu Perger- akan Wanita, Pemuda dan Bapa,bukannya berdasarka­n keputusan satu pihak sahaja.

Ketika ini terdapat empat Ahli Parlimen Wanita daripada PBB iaitu Datuk Seri Nancy Shukri (Batang Sadong), Datuk Seri Rohani Abdul Karim (Batang Lupar),Rubiah Wang (Kota Samarahan) dan Datuk Norah Abdul Rahman ( Tanjong Manis).

Beliau berkata ketika ini Pergerakan Wanita PBB mempunyai keahlian seramai 153,962 di seluruh negeri.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia