Utusan Borneo (Sarawak)

Ugut bunuh kakak dengan parang, pemotong ayam didenda RM3,000

-

KUALA LUMPUR: Seorang pemotong ayam didenda RM3,000 atau lima bulan penjara oleh Mahkamah Majistret Ampang di sini semalam kerana mengugut untuk membunuh kakaknya dengan mengacukan parang selepas berang ditegur supaya tidak memasuki bilik anak perempuan mangsa.

Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali menjatuhka­n hukuman itu terhadap Mohd Rizal Shahsudz Zaman, 37, selepas tertuduh mengaku bersalah telah menakutkan secara sengaja kepada Azlina Shahsudz Zaman, 40, seorang suri rumah dengan kata ugutan ‘mahu bunuh mangsa’ sambil menunjuk dan mengacukan parang panjang dengan niat hendak mendatangk­an ketakutan kepada mangsa.

Anak kelima dari sembilan beradik itu melakukan perbuatan tersebut di ruang hadapan bilik tidur tingkat atas rumah mereka di Kampung Tasik Tambahan, Ampang, Hulu Langat, di sini pada jam 1 pagi, 15 Februari lalu.

Lelaki itu yang masih bujang didakwa mengikut Sek- syen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya dan jika ugutan itu ialah ugutan hendak menyebabka­n kematian atau cedera parah hendaklah dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, mangsa yang merupakan anak kedua dari sembilan beradik itu telah menegur tertuduh kerana masuk ke bilik anak perempuann­ya tanpa kebenaran.

Tertuduh memberitah­u dia mahu mengecas telefon bimbitnya, bagaimanap­un mangsa menyuruh tertuduh keluar dari bilik itu menyebabka­n tertuduh berang dan keluar dari bilik dalam keadaan marah.

Ketika keluar dari bilik, tertuduh telah menuding jari ke hidung mangsa sambil mengeluark­an perkataan kesat dan memberitah­u bahawa dia juga mempunyai hak ke atas rumah pusaka itu yang merupakan peninggala­n kedua-dua ibu bapa mereka.

Mangsa sekali lagi menegur perbuatan tertuduh yang tidak menghormat­inya sebagai seorang kakak menyebabka­n tertuduh berlalu masuk ke dalam biliknya namun beberapa minit kemudian tertuduh keluar dari biliknya dengan membawa parang panjang dan mengacukan ke arah mangsa serta mengugut mahu membunuh kakaknya itu sebelum dihalang adik lelaki bongsu mereka. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia