Utusan Borneo (Sarawak)

Jalan empat lorong dari Matang ke Stapok dibuka pada April

-

KUCHING: Jalan baharu empat lorong dari Matang ke Stapok yang turut melibatkan pembinaan sebuah jambatan dijangka dibuka kepada orang ramai pada April nanti.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, bagi jambatan projek berkenaan ia sudah siap sepenuhnya kecuali jalan penghubung dari kedua-dua arah jalan iaitu dari Matang dan Stapok kini masih dalam pembinaan.

“Berdasarka­n perancanga­n ia (jalan penghubung) dapat disiapkan dalam Mac dan April ia akan dibuka sepenuhnya kepada orang ramai.

“Cuma masalah yang berlaku kini dimaklumka­n berlakunya vandalisme di jambatan ini di mana besi-besi dicuri. “Saya berharap ia tidak akan berlaku lagi kerana bimbang ia bukan sahaja menyebabka­n kelewatan tetapi bahaya kepada pengguna jalan raya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan lawatan ke projek berkenaan, semalam.

Bagi projek terbabit kerajaan persekutua­n meluluskan peruntukan sebanyak RM145 juta untuk Projek Membina Jalan Baharu Empat Lorong dari Matang ke Stapok itu.

Antara skop projek ini adalah membina dan menaik taraf jalan bertaraf empat lorong dua hala piawai U5 sepanjang 4.4km dari bulatan Emart Matang ke Jalan Temenggung Tan Meng Chong dan sebuah jambatan baharu merentasi Sungai Sarawak sepanjang 320 meter.

Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya turut mendedahka­n dalam proses membida tanah bernilai RM90 juta daripada kerajaan negeri untuk membina sebuah lagi jalan melibatkan Jalan Temenggung Tan Meng Chong ke Jalan Stapok Utama sejauh 4.5km.

Beliau yang terdahulu mengadakan lawatan ke satu lagi projek iaitu Projek Naik Taraf Batu 10 ke Batu 15 Jalan Kuching/Serian yang dijangka siap pada Mei depan.

“Projek ini dijangka siap menjelang penghujung April dan siap pada Mei.

“Jika audit keselamata­n dapat dijalankan dengan lancar maka Jun iaitu pada musim Gawai ia dibuka kepada orang ramai,” katanya.

Bagi projek berkenaan, kerajaan persekutua­n telah meluluskan peruntukan sebanyak RM84.5 juta bagi pelaksanaa­n projek.

Jalan ini juga merupakan sebahagian daripada jajaran Lebuh Raya Pan Borneo yang bakal dinaik taraf daripada jalan dua lorong dua hala kepada jalan empat lorong dua hala dengan piawaian U5 sepanjang 9.2km.

Antara skop lain projek adalah penggantia­n lima jambatan dan menaik taraf lima persimpang­an utama.

Selain projek-projek itu, Fadillah berkata bagi projek Bulatan Abang Kipali, di belakang jadual memandangk­an keadaan cuaca hujan masa kini.

“Sepatutnya ia siap pada Februari tetapi berdasarka­n keadaan semasa ia siap menjelang April dan Mei akan dibuka sepenuhnya berserta kelulusan sijil penyiapan serta audit keselamata­n.

“Bagi projek ini ia melibatkan kerja- kerja bawah tanah dan banyak kerja bergantung kepada keadaan cuaca khususnya pengorekan tanah dengan kuantiti air yang banyak,” tegasnya.

Sementara itu, projek Jambatan Batang Samarahan juga dijangka siap menjelang Mei depan yang kini sudah berada pada peringkat akhir.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia