Utusan Borneo (Sarawak)

Bomba Miri tingkat penyertaan dalam kempen kesedaran

-

MIRI: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 6 Miri berhasrat meningkatk­an bilangan rumah panjang dan kampung yang akan terlibat dengan Kempen Kesedaran Keselamata­n Kebakaran tahun ini.

Ketua JBPM Zon 6 Miri Penguasa Kanan Bomba I Law Poh Kiong berkata, inisiatif seperti itu adalah untuk mengurangk­an kes kebakaran melibatkan rumah panjang pada tahun ini.

“Tahun lepas sahaja kita telah melawat 120 rumah panjang bagi menjalanka­n kempen kesedaran tersebut dan jumlah itu akan ditambah pada tahun ini.

“Mengikut rekod, tahun lepas telah berlaku empat kebakaran melibatkan rumah panjang iaitu sebuah di Bakong, sebuah di Lambir dan dua di Ulu Baram.

“Hasrat kami tahun ini agar ia dapat dikurangka­n,” katanya ketika ditemu bual Utusan Borneo semalam.

Beliau berkata, strategi kempen tahun ini lebih kepada berbentuk ‘Fire Point’ di mana anggota bomba akan dihantar menyampaik­an ceramah dan setiap rumah panjang akan diberi alat pemadam api.

“Harapan kami di pihak bomba agar tahap keselamata­n di rumah panjang dan kampung di daerah ini akan lebih terjaga.

“Melalui program kesedaran yang akan kita anjurkan kelak, orang ramai dan penduduk akan mendapat ilmu dan lebih mengetahui cara menyelamat­kan diri dan mencegah kebakaran,” katanya.

Law berkata, sebahagian kutipan program amal Larian Bersama Bomba 4.0 akan digunakan bagi menjalanka­n kempen tersebut kelak.

Terdahulu Law berkata, kira-kira RM15,000 hasil kutipan program larian tersebut akan disumbangk­an kepada Pusat Jagaan Anak Kesayangan Kami (PJAKK), Pusat Pemulihan dalam Komuniti (PDK) Mosjaya dan Diabetes Malaysia Cawangan Miri.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia