Utusan Borneo (Sarawak)

Bagi menampung pelbagai kos operasi yang tinggi terpaksa ditanggung oleh pengusaha: BUMIPEDA

-

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Bumiputera (BUMIPEDA) berharap kerajaan dapat mempertimb­angkan segera pertukaran bayaran komisen jualan kepada pengusaha stesen minyak dalam bentuk peratusan.

Presiden BUMIPEDA, Datuk Abu Samah Bachik berkata, pada masa ini sistem bayaran komisen adalah mengikut sen per liter dan hal ini menyebabka­n pengusaha stesen minyak tidak dapat menjana pendapatan secara mapan.

“Kami berharap kerajaan dapat menukar sistem ini secepat mungkin pada kadar lapan hingga 10 peratus daripada harga minyak di pasaran,” katanya kepada Bernama di sini.

Tambahnya, penukaran tersebut bagi menampung pelbagai kos operasi yang tinggi yang terpaksa ditanggung oleh pengusaha, termasuk pembayaran gaji pekerja, caruman berkaitan untuk pekerja serta kos elektrik dan air yang semakin meningkat.

“Pengusaha juga perlu membayar komisen kepada syarikat minyak sebanyak 5.5 peratus ke atas setiap barangan runcit yang dibeli pelanggan serta tambahan 1.5 peratus kepada pihak bank ke atas pembayaran petrol dan diesel yang menggunaka­n kad kredit.

“Tanggungan ini perlu dibayar oleh pengusaha, bukan pengguna dan keadaan ini amat sukar untuk mengekalka­n margin perniagaan kami memandangk­an harga minyak sentiasa mengalami turun naik,” jelas beliau.

Pada masa ini, komisen kasar jualan minyak yang diterima pengusaha adalah tetap, berlandask­an Mekan- isme Penetapan Harga Minyak sebanyak 12.19 sen seliter bagi petrol dan tujuh sen seliter untuk diesel sejak 2008.

Abu Samah yang merupakan pengusaha stesen minyak selama 34 tahun menjelaska­n bahawa ramai pelanggan tidak memahami situasi sebenar yang dialami pengusaha stesen minyak, lantas beranggapa­n bahawa mereka adalah ‘ tauke’ dan memperoleh keuntungan yang tinggi.

“Kami sekarang terdesak dan tersepit. Kini, lebih kurang 20 peratus pengusaha stesen minyak di seluruh negara sudah pun gulung tikar ataupun bertukar tangan.

“Sebelum situasi bertukar parah, kami berharap kerajaan dapat segera membantu menyelesai­kan kemelut pengusaha stesen minyak yang terpaksa mengikut syarat perjanjian yang ditetapkan syarikat minyak,” kata Abu Samah.

Sehubungan itu, beliau juga berharap supaya kerajaan meneliti semula mekanisme penetapan harga petrol dan diesel secara bulanan bagi mengurangk­an kerugian sedia ada yang ditanggung pengusaha.

Tambahnya, BUMIPEDA sebelum ini telah pun berund- ing dan menghantar memorandum kepada Kementeria­n Perdaganga­n Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengguna­an (KPDNKK) serta Kementeria­n Kewangan tahun lepas berhubung masalah tersebut, namun sehingga kini tiada tindakan konkrit diambil.

“Sebagai presiden, saya bertanggun­gjawab untuk membantu menyelesai­kan isu ini bagi kebaikan semua.

“Kami dalam proses untuk mengemukak­an memorandum kedua kepada KPDNKK dan Kementeria­n Kewangan,” tambah beliau. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia