Utusan Borneo (Sarawak)

Petani, belia digalak ceburi bidang penanaman cendawan tiram kelabu

-

BAU: Rakyat di negeri ini terutama petani dan golongan belia digalak untuk menceburi bidang penanaman cendawan tiram kelabu secara besar-besaran.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Anthony Nogeh Gumbek berkata, cendawan tiram kelabu termasuk beberapa jenis cendawan yang lain berpotensi untuk diusahakan.

Dari segi eksport katanya, nilai eksport produk cendawan negara mencecah RM67 juta pada 2010 berbanding RM12 juta pada tahun 2000.

“Dalam masa 10 tahun (20002010) kita dapat melihat nilai eksport produk cendawan kita meningkat berlipat ganda.

“Pada tahun 2016 pula, kita telah mengeluark­an 4,200 tan metrik cendawan untuk penggunaan domestik serta pasaran luar negara,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kursus Penanaman Cendawan Tiram Kelabu Kawasan Parlimen P.192 Mas Gading di Pusat Redeems, Kampung Apar Singai dekat sini semalam.

Melihat kepada potensi bidang penanaman cendawan, Nogeh yang juga Ahli Parlimen Mas Gading berharap rakyat terutama di kawasan Parlimen itu akan mengusahak­an tanah mereka yang terbiar dengan menanam cendawan.

Kawasan Mas Gading katanya, mempunyai banyak tanah terbiar dan lembap yang sesuai untuk penanaman cendawan.

Malah katanya, sebuah syarikat tempatan iaitu Bratak Mushroom Sdn Bhd sedia menjadi syarikat utama untuk membantu para petani mema- sarkan hasil tanaman cendawan mereka.

“Syarikat ini baharu saja bermula dan mereka akan menjadi syarikat utama di Mas Gading untuk menyediaka­n benih dan membeli hasil tanaman cendawan para petani dari kawasan ini untuk dipasarkan,” katanya.

Penanaman cendawan tiram kelabu ini menurut Nogeh, adalah sebahagian daripada usaha beliau di Mas Gading ini selepas memperkena­lkan penanaman nanas variety MD2 yang telah dieksport ke Singapura, Hong Kong dan China.

Justeru, beliau berharap lebih ramai rakyat terutama petani dan golongan belia akan menceburi bidang penanaman cendawan itu dan muncul sebagai usahawan cendawan yang berjaya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia