Utusan Borneo (Sarawak)

Dua geng pecah rumah, samun dan curi motosikal ditahan

-

BUKIT MERTAJAM: Dua lelaki dipercayai geng pecah rumah, samun dan curi motosikal ditahan polis dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Manis, Perai dekat sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata bertindak hasil maklumat dan risikan, polis menyerbu rumah itu kira-kira jam 10 pagi dan menahan dua lelaki berkenaan yang berumur 21 dan 28 tahun.

“Berdasarka­n siasatan polis, dua lelaki itu dipercayai terlibat dalam kegiatan curi motosikal, samun dan pecah rumah di sekitar daerah SPT sejak beberapa bulan lepas bersama seorang lagi rakan mereka yang masih bebas,” katanya di sini semalam.

Katanya polis turut merampas sebuah motosikal jenis Honda EX5 yang menggunaka­n nombor pendaftara­n palsu dipercayai dicuri, di rumah sewa didiami dua lelaki berkenaan.

Beliau berkata dua lelaki yang bekerja kilang itu kini direman selama lima hari bagi membantu siasatan dan usaha mengesan rakan mereka berumur 20-an yang identitiny­a telah dikenal pasti giat dijalankan.

Sementara itu, Nik Ros Azhan berkata dua lelaki geng curi motosikal ditahan polis dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Permatang Batu, Bukit Tengah semalam dan pihaknya merampas pelbagai komponen motosikal yang telah dileraikan dipercayai hasil curi mereka.

“Dua lelaki berumur 20 dan 24 tahun itu ditahan kira-kira jam 6.30 petang dan polis turut merampas dua motosikal jenis Honda EX5 dipercayai baru dicuri mereka di kawasan Seberang Jaya. Dua suspek berkenaan terlibat dalam kegiatan tersebut sejak tahun lepas,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia