Pembangunan, kemajuan Sarawak usaha kolektif, hasil kesatuan rakyat pelbagai kaum
KUCHING: Pembangunan dan kemajuan yang dinikmati di Sarawak adalah usaha kolektif dan hasil kesatuan rakyat pelbagai kaum dan agama selama ini.
Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, ini termasuk dengan sumbangan serta sokongan daripada golongan minoriti seperti masyarakat Cina Muslim.
“Di Sarawak, anda (rakyat) dapat lihat banyak kemajuan dan pembangunan yang telah kita kecapi di semua tempat sama ada di kawasan bandar mahupun luar bandar.
“Ini bukan hanya hasil usaha beberapa individu sahaja tetapi melibatkan sumbangan serta dukungan semua lapisan masyarakat, semua kaum dan semua penganut kepercayaan termasuk golongan minoriti di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina anjuran Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Cawangan Sarawak yang disertai lebih 500 ahlinya di sebuah hotel terkemuka di sini, malam kelmarin.
Turut hadir, isteri Yang di-Pertua Negeri Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg, Menteri Muda Elektrik Luar Bandar Dr Abdul Rahman Junaidi dan Pengerusi MACMA Cawangan Sarawak Mohammad Tony Ong Abdullah.
Tun Taib berkata, ker- jasama kukuh itu sekali gus mencerminkan perpaduan dan keharmonian pelbagai kaum di Sarawak yang merupakan kejayaan terpenting di negeri ini.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua bangsa dan agama di Sarawak untuk meneruskan kerjasama berkenaan demi masa depan Sarawak yang lebih baik.
“Bukan hanya ke arah memastikan pembangunan Sarawak tetapi juga dalam inisiatif mengekalkan kepelbagaian budaya dan tradisi yang menjadi identiti negeri ini agar turut dapat dinikmati generasi seterusnya,” kata Tun Taib.
Dalam pada itu, beliau menyarankan MACMA Cawangan Sarawak menarik lebih ramai ahli baharu terutama daripada kalangan golongan berpendidikan tinggi dan profesional.
“Bahkan saya mohon mereka lebih proaktif dalam menyumbang ke arah pembangunan negeri ini.
“Meskipun mereka (masyarakat Cina Muslim) merupakan kaum minoriti, namun saya percaya mereka berupaya memberi lebih banyak sumbangan kepada negeri ini dan seterusnya meningkatkan kedudukan ekonomi Sarawak,” katanya.