Wanita harus sentiasa berwaspada dengan keselamatan diri ketika berjoging
KUCHING: Wanita harus sentiasa berwaspada dengan keselamatan diri ketika berjoging bagi mengelak daripada menjadi mangsa jenayah.
Justeru, Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Negeri Persekutuan dan Pemantauan Projek Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali menasihati wanita yang ingin berjoging agar memilih tempat lebih selamat seperti di kawasan yang ramai orang.
“Jangan berjoging di tempat yang sunyi kerana penjenayah ada di manamana dan pada bila-bila masa.
“Walaupun ingin bersenam, keselamatan diri juga harus dijaga kerana sudah berlaku kes di mana wanita ditumbuk ketika sedang berjoging,” katanya.
Beliau berkata demikian pada acara senamrobik, ‘Pink For Healthy Lifestyle’ ( P4HL) anjuran Kelab Zdance Kuching di Pustaka Negeri di sini, semalam.
Sehubungan itu, Hasidah yang juga ADUN Samariang turut menggalakkan wanita khusus- nya di bandar raya ini untuk menyertai acara senamrobik P4HL kerana selain terletak di lokasi yang sesuai, ia juga dijamin selamat.
Menurutnya, Kelab Zdance Kuching akan mengadakan sesi senamrobik P4HL pada setiap Selasa, Khamis, Jumaat dan Ahad pada jam 5.30 petang di Pustaka Negeri.
Katanya, acara berkenaan sangat sesuai untuk disertai golongan wanita kerana di samping menggalakkan gaya hidup sihat, ia juga menjadi wadah bagi semua lapisan masyarakat untuk saling berinteraksi.
“Saya berharap program ini akan dapat menyediakan ruang bersenam yang selamat sekali gus menangani jenayah terhadap wanita,” katanya.
Sempena majlis, Hasidah juga telah menyumbang sebanyak RM5,000 kepada Kelab Zdance Kuching untuk menyokong aktivitinya dari semasa ke semasa.
Untuk maklumat lanjut mengenai P4HL, sila hubungi talian 0168585119 (Frida) atau 0138297774 (Ema).