Semangat kekitaan mewujudkan suasana tempat tinggal selamat dan harmoni
KUCHING: Semangat kekitaan dalam kalangan penduduk di Kawasan Rukun Tetangga ( KRT) penting dalam mewujudkan suasana tempat tinggal yang selamat dan harmoni.
Menurut Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantuan Projek Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, semangat kekitaan itu penting supaya masyarakat dapat tinggal secara bersatu hati, tolong menolong, mengambil berat antara satu sama lain dan sentiasa bekerjasama memantau keselamatan kawasan kediaman masing-masing.
“Marilah kita bersatu di bawah KRT ini agar ia dapat membawa lebih banyak manfaat kepada kita semua agar kita dapat terus hidup secara bersatu dan harmoni,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program ‘We Care We Love’ Samariang Bukit Siol dan pelancaran KRT Jalan Haji Babel di pekarangan Padang Futsal Samariang Bukit Siol, Lorong Haji Babel di sini semalam.
Pada masa sama Hasidah berkata pihaknya akan berusaha memastikan keperluan penduduk di kawasan tersebut dapat dipenuhi.
“Seperti permintaan bonggol jalan di kawasan ini, saya akan mengemukakannya kepada pihak yang berkaitan,” katanya.
Selain itu, beliau turut mengumumkan peruntukan RM5,000 untuk KRT Haji Babel bagi membantu menganjurkan aktiviti untuk masyarakat di kawasan itu.
Pada majlis itu juga, beliau turut mengagihkan sumbangan kepada 195 penduduk yang kurang bernasib baik dari kawasan Dewan Undangan Negeri Samariang.
Program yang julung kali diadakan itu turut menyelitkan pelbagai acara sampingan seperti pertandingan futsal, senam tari, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, pemeriksaan kesihatan percuma dan ceramah khas berkaitan bahaya dadah yang dihadiri lebih 300 penduduk di sekitar kawasan itu.