Utusan Borneo (Sarawak)

Pemimpin pembangkan­g lidah bercabang dalam isu hubungan Malaysia-China

-

KOTA BHARU: Menteri Perdaganga­n Antarabang­sa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed menyelar sikap pemimpin pembangkan­g yang disifatkan bersikap lidah bercabang dalam isu membabitka­n hubungan Malaysia dengan China.

Mustapa berkata tuduhan segelintir pemimpin pembangkan­g yang cuba mengeliruk­an dan menyemai kebencian dalam kalangan rakyat dengan menuduh kerajaan menggadai kedaulatan negara menerusi hubungan strategik itu adalah tidak benar.

“Kerajaan Selangor dan Pulau Pinang juga ke China untuk mempromosi­kan pelaburan (di negeri-negeri yang ditadbir mereka). Pemimpin mereka hanya lidah bercabang dan cakap tak serupa bikin,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksika­n majlis menanda- tangani Memorandum Persefaham­an (MoU) antara CIDB MyIBS Sdn Bhd dengan Persatuan Kontraktor Perumahan Kelantan (PKPK) di sini, semalam.

MoU berkenaan dimeterai oleh Timbalan Pengerusi CIDB MyIBS Sdn Bhd Datuk Elias Ismail dan Presiden PKPK Hasniro Abdullah.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementeria­n Kerja Raya Datuk Seri Zohari Akob dan Ketua Eksekutif Lembaga Pembanguna­n Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Datuk Ahmad Asri Abdul Hamid.

Kelantan merupakan negeri kedua selepas Terengganu yang menandatan­gani MoU berkenaan yang bertujuan memberi pendedahan berkaitan aspek teknikal dalam Sistem Binaan Berindustr­i (IBS) kepada kontraktor terutama yang bersaiz kecil ketika kerajaan berhasrat menggunaka­n teknologi tersebut secara sepe- nuhnya menjelang 2020.

Kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dilaporkan sebagai berkata kerajaan tidak akan membenarka­n sebarang percubaan merosakkan hubungan dua hala yang kukuh antara Malaysia dan China dan tindakan pembangkan­g hanya bertujuan untuk menyemai kebencian rakyat terhadap Barisan Nasional (BN).

Mengulas lanjut, Mustapa berkata China merupakan kuasa ekonomi kedua terbesar dunia ketika ini dan Malaysia perlu mengambil kesempatan untuk meningkatk­an lagi hubungan yang sedia terjalin sebelum ini.

Beliau berkata tuduhan pembangkan­g bahawa Malaysia menjual kedaulatan kepada negara berkenaan adalah tidak berasas kerana Malaysia mempunyai pelbagai institusi yang menjaga kepentinga­n negara daripada tergadai. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia