Liverpool naik ke tangga kedua liga selepas membelasah West Ham United 4-1 di Anfield pada aksi liga
LONDON, England: Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menggambarkan prestasi hampir sempurna pasukannya sebagai “gembira untuk disaksikan” ketika Mohamed Salah menjaringkan gol untuk perlawanan keenam berturut-turut apabila membelasah West Ham United 4-1 di Anfield dalam aksi Liga Perdana Inggeris Sabtu lepas.
Liverpool naik ke tangga kedua liga dengan kelebihan satu mata berbanding Manchester United, yang bermain lewat menentang Chelsea selepas Emre Can, Roberto Firmino dan Sadio Mane juga menjaringkan gol.
“Saya tidak fikir sebagai seorang pengurus, anda boleh menjangkakan satu perlawanan seperti ini, anda boleh berharap tetapi ia jarang berlaku. Kami melakukannya hari ini dan ia benar-benar gembira untuk ditonton,” kata Klopp.
“Ia sengit, agresif, ia meledak, penuh dengan keazaman. Saya melihat segalagala yang saya mahukan dalam satu perlawanan bola sepak dan ia jarang dilihat.”
Salah juga mengikat kedudukan 23 gol dengan penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane sebagai penjaring terbanyak pada musim sulung bersama Liverpool.
Penyerang antarabangsa Mesir itu tidak bernasib baik untuk membuka jaringan seawal minit ketiga apabila cubaannya terkena palang tetapi beliau ada terlibat dengan gol pembukaan dari tandukan Can menerusi tendangan sudutnya pada minit ke-29 untuk gol ke-100 Liverpool dalam semua pertandingan musim ini.
Salah menambah jaringan dengan satu rembatan kencang selepas rehat hasil umpanan Alex OxladeChamberlain.
Tidak lama selepas itu, Firmino menjaringkan gol ketiga dari umpanan Can sebelum pemain gantian, Michail Antonio merapatkan kedudukan buat West Ham seminit selepas dimasukkan ke dalam padang tetapi Mane menamatkan segala kemungkinan kebangkitan pasukan pelawat dengan gol keempat ketika berbaki 13 minit permainan dari umpanan Andrew Robertson.
“Kami sentiasa fikir kami mempunyai peluang menjaringkan gol hari ini tetapi kami gagal mengawal penyerang mereka,” kata pengurus West Ham, David Moyes. “Akhirnya kami menentang pasukan yang bermain dengan sangat bagus.”
Di kelompok bawahan liga, Huddersfield dan Brighton – dua kelab pendatang baharu liga – melangkah keluar dari zon penyingkiran selepas masing- masing mencipta kemenangan.
West Brom kekal di tangga terbawah selepas tewas 1-2 kepada Huddersfield, yang menjaringkan dua gol pada lapan minit pertama dari Rajiv Van la Parra dan Steve Mounie.
Brighton naik ke tangga ke-11 selepas dua gol Glenn Murray dan gol lewat Anthony Knockaert dan Jurgen Locadia menamatkan 10 perla- wanan tanpa kalah Swansea dengan kemenangan 4-1.
Dwight Gayle menjaringkan dua gol untuk Newcastle tetapi mereka gagal mengekalkan rentak cemerlang selepas menewaskan Manchester United sebelum ini apabila seri 2-2 di Bournemouth dengan gol penyamaan dijaringkan A d a m Smith dan Dan Gosling pada 10 minit terakhir.
Southa m p - t o n juga terpaksa akur dengan satu mata selepas seri 1-1 di Burnley. Pada perlawanan awal, Stoke City juga terikat 1-1 dengan Leicester City selepas membuka jaringan menerusi Xherdan Shaqiri tetapi bolos gol penyamaan dari gol sendiri penjaga gol Jack Butland, yang gagal menangkap kemas hantaran lintang Marc Albrigton pada 20 minit terakhir permainan. — AFP