Venezuela buka pencalonan untuk pemilihan presiden baharu
CARACAS: Venezuela kini menerima pendaftaran calon untuk pilihan raya presiden pada 22 April tetapi ahli politik pembangkang dan juga Amerika Syarikat (AS) menolak terma pilihan raya.
Tania D’Amelio, pegawai Majlis Pilihan raya Kebangsaan ( CNE) berkata, penamaan calon akan diterima mulai hari ini dan majlis akan mengumumkan nama calon yang diterima menjelang Khamis.
Ahli politik pembangkang menuduh CNE berada di bawah telunjuk Presiden Nicolas Maduro.
Pilihan raya presiden, dengan Maduro memohon terma baharu yang akan mengekalkan beliau sebagai presiden sehingga 2025, secara tradisinya berlangsung pada Disember.
Mereka memilih tarikh lebih awal atas persetujuan Dewan Parlimen yang dikuasai parti memerintah.
Maduro mengumumkan pilihan mengejut untuk pilihan raya perundangan Perhimpunan Kebangsaan, mencadangkan ia diawalkan hampir dua tahun agar serentak dengan pilihan raya 22 April.
Beliau membalas kritikan pakatan pembangkang MUD yang mendakwa ia tidak akan menyertai pilihan raya awal tanpa jaminan proses tersebut akan berjalan dengan lancar dan adil.
“Kami akan mengadakan pilihan raya tidak kira hujan, panas atau ribut petir, dengan atau tanpa MUD,” kata Maduro.
Tetapi AS, di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump, juga mengkritik kepimpinan Maduro di Venezuela dan menolak desakan untuk pilihan raya awal.
“Kami menolak cadangan parti memerintah untuk mengadakan pilihan raya lebih awal berbanding pada 2021, seperti di bawah Perlem- bagaan 1999,” kata Jabatan Negara AS.
Kenyataan juga meminta pilihan raya yang adil dan bebas melibatkan penyertaan penuh semua ahli politik, selain pembebasan semua tahanan politik dan kebenaran untuk kemasukan pemerhati pilihan raya bebas dan antarabangsa.
MUD berkata Rabu lepas ia tidak akan mendaftar calon untuk bertanding kerana mereka tidak akan dijamin ketelusan, tetapi ia tidak menolak untuk menyertai pilihan raya jika calonnya diluluskan. — AFP