Utusan Borneo (Sarawak)

Filipina berkas balu dua ketua militan

-

MANILA: Balu kepada dua ketua militan yang terbunuh telah ditangkap kerana dikatakan menyokong kumpulan ekstremis dan memiliki senjata api serta bahan letupan, menurut pihak polis Filipina semalam.

Juromee Dongon berkahwin dengan seorang ketua kanan kumpulan penculik untuk wang tebusan Abu Sayyaf, Khadaffy Janjalani. Selepas kematianny­a pada 2006, dia mengahwini pembuat bom Malaysia Zulkifli Hir, alias Marwan, yang dibunuh pada 2015 juga di Filipina, menurut pihak polis.

Pihak berkuasa menahan Dongon bersama ahli keluargany­a di rumahnya di Lanao del Norte, wilayah selatan terpencil Mindanao di mana mereka menemui senjata api, peluru dan komponen untuk menghasilk­an bom, menurut kenyataan polis.

“Dia membantu, berhubung, menghubung­kan dan menyokong kumpulan pengganas,” jelas jurucakap polis wilayah Pesuruhjay­a Lemuel Gonda.

“Juromee dikaitkan dengan Abu Sayyaf sepanjang penguasaan Janjalani dan kemudian Jemaah Islamiyah,” tambah beliau, merujuk kepada kumpulan militan Asia Tenggara.

Marwan adalah anggota utama dalam Jemaah Islamiyah (JI) dan suspek penge- boman kelab malam Bali pada 2002 yang mengorbank­an 202 orang, selain dua serangan maut di Filipina.

Dia terbunuh dalam serbuan di selatan yang turut menyebabka­n 44 komando polis terkorban.

Amerika Syarikat ( AS) menawarkan wang ganjaran AS$5 juta untuk penahanan atau kematianny­a.

Dalam dua operasi semalam, pihak polis menahan Dongon termasuk dua adik perempuan dan ayahnya, menurut Gonda, sambil menambah keluarga tersebut mempunyai hubungan dengan pengganas.

Keluarga Dongon berdepan dakwaan memiliki secara haram senjata api dan bahan letupan.

Abu Sayyaf merupakan kumpulan militan yang ditubuhkan pada 1990 dengan saluran dana daripada rangkaian Al- Qaeda, dan dipersalah­kan atas serangan keganasan terburuk dalam sejarah Filipina, termasuk pengeboman.

Abu Sayyaf menempatka­n militan JI di pangkalan mereka di pulau selatan terpencil, termasuk suspek utama pengeboman Bali.

Penganalis­is keselamata­n menyatakan balu kedua-dua ketua militan itu memainkan peranan penting dalam kumpulan ekstremis tersebut. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia