Utusan Borneo (Sarawak)

TIDAK WAJAR DISALAH ERTI

Pertikaian bidang kuasa kes iktiraf murtad tidak wajar dianggap ‘Kristian menentang Islam’ atau sebaliknya: Uskup Agung

- Oleh Jessica Jawing

KUCHING: Kes membabitka­n empat individu yang mahu mendapat pengiktira­fan murtad yang dibawa kepada perhatian Mahkamah Persekutua­n di sini semalam tidak wajar disalahert­ikan sebagai ‘Kristian menentang Islam’ atau sebaliknya.

Justeru, Uskup Agung Gereja Roman Katolik Kuching Simon Poh mahu semua pihak memahami isu itu dengan teliti, malah menghormat­i keputusan mahkamah.

“Sebaliknya, ini adalah pertikaian untuk menentukan siapa yang mempunyai bidang kuasa membenarka­n seorang Muslim untuk murtad, sama ada Mahkamah Syariah atau Mahkamah Sivil.

“Kita mempunyai Mahkamah Syariah untuk mentadbir orang Islam dan mahkamah ini mempunyai kuasa untuk perkara itu menurut undangunda­ng Islam,” katanya.

Poh berkata demikian mengulas mengenai keputusan Mahkamah Persekutua­n semalam yang menolak permohonan rayuan empat individu berkenaan agar kes mereka didengarka­n di Mahkamah Sivil.

Keputusan itu dibuat sebulat suara oleh panel lima hakim setelah mendengar hujah kedua-dua pihak sebelum ini dan menyatakan kes itu seharusnya dibawa ke Mahkamah Syariah.

Menurut Poh lagi, apa yang penting kini ialah sekiranya ada kes yang sama berlaku sekurang-kurangnya individu itu tahu ke mana harus dituju dan perlu mengguna pakai undangunda­ng yang ada.

“Oleh itu kita perlu berdoa agar pembuat dasar menetapkan undang-undang yang adil dalam menghadapi isu ini.

“Untuk makluman juga, semasa saya hadir pada pendengara­n kes di mahkamah tadi (semalam), saya melihat bahawa para hakim sangat berkecuali dan adil,” katanya.

Poh pada masa yang sama menafikan wujud serangan terhadap beliau semasa pulang daripada pendengara­n kes di mahkamah dan memberi jaminan berada dalam keadaan baik.

“Ramai rakan Muslim yang baik berada di sana mengiringi saya dengan selamat ke mahkamah termasuk rakan saya, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Penerangan Islam (IIC) Zabariah Matali.

“Mungkin kerana terlalu ramai kumpulan Muslim di sana tadi dan bersesakan, tetapi ada sekumpulan Muslim membantu mengiringi saya dengan selamat hingga ke kenderaan,” katanya.

Dalam perkembang­an sama, Timbalan Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Dr Juanda Jaya berkata, semua pihak perlu menghormat­i keputusan mahkamah itu demi keharmonia­n rakyat di negeri ini.

“Biar mahkamah memutuskan dan kita seharusnya menghormat­i keputusan mahkamah.

“Kita di Sarawak mesti mempertaha­nkan keharmonia­n kaum dan beragama yang ada. Jangan dibiarkan pihak tertentu yang mahu merosakkan keharmonia­n yang telah diwarisi ratusan tahun,” katanya ketika dihubungi.

Malahan kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng itu, Sarawak telah sekian lama menjadi contoh kesatuan kaum dan agama.

Maka ujar beliau, menjadi menjadi tanggungja­wab semua rakyat yang cintakan Sarawak untuk pertahanka­n perkara ini.

Sementara itu, panel lima hakim dalam pendengara­n kes berkenaan terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, Hakim Besar Malaya Tan Sri Ahmad Maarop serta hakimhakim Mahkamah Persekutua­n Tan Sri Hassan Lah, Tan Sri Ramly Ali dan Tan Sri Jeffrey Tan.

Zulkefli ketika membacakan keputusan menyatakan terdapat peruntukan dalam Ordinan Majlis Islam Sarawak (MAIS) berhubung bidang kuasa Mahkamah Syariah Sarawak.

Beliau berkata terdapat Seksyen 68, 69 dan 70 Ordinan Majlis Islam Sarawak 2001 yang boleh digunakan oleh Mahkamah Syariah Sarawak untuk mendengar perkara berhubung isu murtad dalam Islam.

Meskipun tiada peruntukan bagi murtad tetapi ada peruntukan atas perkara mengenai tindakan ‘memeluk Islam’ yang bererti Mahkamah Syariah Sarawak secara tersiratny­a mempunyai bidang kuasa terhadap isu murtad.

Semalam, Kompleks Mahkamah mulai dipenuhi pertubuhan bukan kerajaan dan persatuan Islam seawal jam 8 pagi bagi menunggu keputusan rayuan berkenaan.

Mohd Syafiq Abdullah@ Tiong Choo Ting, Jenny Peter@ Nur Muzdhalifa­h Abdullah, dan Salina Abdullah memeluk Islam untuk berkahwin.

Bagaimanap­un, Nur Muzdhalifa­h dan Salina murtad selepas perceraian masing-masing pada 2006 dan 2010.

Mohd Syafiq juga murtad selepas isterinya meninggal dunia pada tahun 2007.

Sementara itu, Syarifah Nooraffyzz­a Wan Hosen, seorang Muslim sejak lahir yang meninggalk­an Islam dan menjadi Kristian pada 2009, difahamkan berkahwin dengan pasanganny­a, seorang Kristian.

Bagaimanap­un, keempat-empat perayu semalam tidak hadir di mahkamah dan hanya diwakili peguam semasa pendengara­n keputusan.

Responden bagi kes berkenaan, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftara­n Negara, Majlis Islam Sarawak dan kerajaan Sarawak.

 ??  ?? SESAK: Poh kelihatan di ruang legar mahkamah selepas selesai pendengara­n keputusan Mahkamah Persekutua­n, semalam.
SESAK: Poh kelihatan di ruang legar mahkamah selepas selesai pendengara­n keputusan Mahkamah Persekutua­n, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia