Utusan Borneo (Sarawak)

Pertahan budaya dan seni pelbagai etnik di Sarawak

-

KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menyeru agar usaha berterusan dilakukan untuk mempertaha­nkan kebudayaan dan kesenian daripada pelbagai etnik di Sarawak.

Katanya, ini kerana budaya dan seni yang diamalkan zaman dahulu semakin hilang ditelan zaman dan dilupakan dalam kehidupan sosial masyarakat masa kini disebabkan perubahan ekonomi dan pemodenan.

“Dalam dunia teknologi ini, semua orang terlalu sibuk mengejar kejayaan dan pendapatan yang tinggi sehingga lupa kepada amalan budaya dan seni kehidupan suatu masa dulu.

“Oleh sebab itu, saya berharap DBS dapat mengkaji dan tampil dengan strategi bagi mengatasi keadaan ini, dan kalau sudah ada strategi boleh datang kemukakan kepada saya di Astana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaik­an amanat pada Anugerah Sastera Negeri Sarawak 2017 di sebuah hotel terkemuka di sini, malam kelmarin.

Majlis telah menyaksika­n Hamzah Hamdani dinobatkan Anugerah Khas Bahasa dan Sastera manakala penerima Anugerah Sastera Penulis Sarawak (Genre Novel) ialah Idris Boi, Mohd Ali Salim (Genre Cerpen), Pharo Abdul Hakim ( Kategori Puisi), Harry Usup Umbar (Kategori Bahasa Iban) dan Wong Ching Ping (Kategori Bahasa Cina).

Sementara itu, majlis turut diserikan dengan deklamasi puisi khas oleh Datu Dr Adi Badiozaman Tuah yang disusuli dengan persembaha­n saksofon oleh Narawi Morshidi.

Dalam pada itu Tun Taib turut menyempurn­akan pelancaran buku P.Ramlee ‘Di Mana Kan Kucari Ganti’ karya Allahyarha­m Datuk Aziz Sattar.

Turut hadir Toh Puan Ragad Kurdi Taib, Menteri Pelanconga­n, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Kebajikan, Kesejahter­aan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembanguna­n Kanak- Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah serta Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Datuk Abdul Adzis Abbas.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia