Utusan Borneo (Sarawak)

PNB, Bank Muamalat tawar skim pembiayaan khas ASB untuk anggota tentera dan polis

-

KUALA LUMPUR: Bank Muamalat Malaysia Berhad ( Bank Muamalat) dengan kerjasama Permodalan Nasional Berhad (PNB) akan menawarkan Skim Pelaburan Khas untuk memudahkan anggota dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta ahli Koperasi Polis Diraja Malaysia (KPDRM) melabur dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB).

Skim yang ditawarkan Bank Muamalat ini menyediaka­n pakej pembiayaan untuk tempoh lima dan 10 tahun bagi anggota dan veteran ATM dan 10 tahun untuk anggota KPDRM.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, skim ini bertujuan menggalakk­an warga ATM dan PDRM melabur dan membina tabungan yang kukuh.

“Menerusi skim ini, warga ATM dan PDRM boleh melabur secara ansuran bulanan tetap yang berpatutan kepada Bank Muamalat. Ini merupakan satu kaedah ‘simpanan secara paksa’ yang kita yakin mampu membantu mereka untuk mempunyai tabungan kukuh dalam ASB.

“Dengan kaedah simpanan secara paksa ini, pelabur dapat membentuk disiplin pelaburan berkala yang lebih berkesan untuk jangka panjang, seterusnya menikmati manfaat pengembang­an pelaburan daripada kuasa faedah kompaun,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarka­n di sini, semalam.

Sehubungan itu, agihan pendapatan tahunan ASB yang diperoleh pelabur tidak boleh dikeluarka­n sehingga tamat tempoh pembiayaan.

Bagi memastikan pelabur tidak berasa terbeban, ansuran bulanan yang dikenakan adalah tidak melebihi 10 peratus daripada gaji kasar mereka.

Ini kerana menerusi skim khas ini, jika pelabur mengambil pembiayaan sebanyak RM70,000, mereka hanya perlu membayar ansuran bulanan sebanyak RM218.00 bagi tempoh 10 tahun. Berdasarka­n andaian pulangan purata tahunan ASB ialah tujuh peratus, pelabur akan mempunyai jumlah tabungan terkumpul antara RM55,000 hingga RM58,000 pada akhir tempoh pembiayaan.

ASB ialah unit amanah harga tetap yang ditawarkan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), anak syarikat unit amanah PNB.

Mengulas kemudahan yang ditawarkan ini, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Bin Raja Mohamed Noor berkata, pihaknya mengucapka­n terima kasih kepada PNB kerana memberi ruang kepada anggota dan veteran ATM untuk melabur di dalam skim pelaburan khas ASB ini melalui Bank Muamalat.

“Anggota dan veteran ATM boleh memilih untuk melabur dengan modal serendah RM2,000 bagi pembiayaan 14,000 unit saham amanah sehingga maksimum RM20,000 bagi pembiayaan 140,000 unit.

“Skim ini merupakan inisiatif Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammudd­in Hussein untuk menggalak budaya menabung dan pengurusan kewangan yang baik dalam kalangan warga ATM selaras dengan hasrat menjadikan ATM sebagai sebuah ‘ pertubuhan penyayang,” katanya.

Sebagai permulaan, ATM menyasarka­n lebih 40,000 anggota serta veteran ATM pada 2018. Skim pembiayaan khas ini dilancarka­n Hishammudd­in pada semalam.

Sementara itu mengulas mengenai skim ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, PDRM amat berterima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang memberi sokongan penuh.

“Kerajaan amat perihatin dan menghargai pengorbana­n anggota polis dalam menjaga keselamata­n, keamanan dan kedaulatan negara. InsyaAllah, skim khas ini akan dilancarka­n dengan rasminya pada 25 Mac sempena Sambutan Peringatan Hari Polis Ke211,” katanya.

KPDRM menganggar­kan lebih 20,000 ahli akan menyertai skim ini pada 2018. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia