Utusan Borneo (Sarawak)

Tiada lagi tsunami Cina pada Pilihan Raya Umum Ke-14

-

KUANTAN: PIilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang bakal ‘menjengah’ tidak lama lagi, disifatkan kebanyakan penganalis­is politik sebagai pilihan raya paling sengit dan getir yang pernah diadakan di negara ini.

Hal ini pernah diakui sendiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyifatka­n ia sebagai ‘ibu kepada segala pilihan raya’ yang akan menentukan sama ada kerajaan Barisan Nasional (BN) terus mempertaha­nkan Putrajaya.

Tidak dapat lari, sokongan kaum Cina sekali lagi menjadi persoalan sama ada mereka terus mahu melakukan ‘tsunami Cina’ atau kembali kepada BN, khususnya kepada MCA serta Gerakan yang selama ini telah banyak melakukan pembelaan terhadap kaum itu di negara ini.

Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai yang diajukan pertanyaan tentang perkara itu, melahirkan keyakinan masyarakat Cina kini sudah ‘celik’ untuk menilai yang mana kaca dan yang mana permata untuk dijadikan sebagai sandaran membela nasib mereka.

“Kita telah belajar daripada kesilapan dan sedar dengan kelemahan dalam pilihan raya umum ( PRU) lalu. Kehilangan sokongan kaum Cina pada PRU lalu, sedikit sebanyak berpunca daripada masalah dalaman dan luaran MCA sendiri.

“Sebab itu apabila saya mengambil alih kepimpinan pada penghujung 2013, perkara pertama yang saya lakukan ialah transforma­si parti hingga peringkat umbi dan perubahan itu penting untuk menarik kembali sokongan rakyat terutamany­a pengundi Cina,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Liow berkata hasil transforma­si yang dilakukan, perpaduan dalaman MCA kini kembali kukuh dan tiada lagi wujudnya kem-kem tertentu dalam parti itu, yang akhirnya mengembali­kan keyakinan masyarakat Cina kepada parti.

Beliau berkata perubahan itu juga penting untuk memastikan MCA kembali menjadi parti yang unggul dalam kalangan masyarakat Cina dan terus dapat bekerjasam­a dengan parti UMNO dan MIC serta parti komponen lain untuk mentadbir negara.

“Kita nak jelaskan kepada rakyat bahawa MCA bukan hanya sekadar penumpang dalam ‘kapal’ BN dan tidak beri sumbangan kepada negara, sebaliknya parti ini juga mempunyai kekuatan tersendiri yang menyumbang kepada kejayaan BN,” katanya.

Malah, katanya untuk memperkuku­hkan lagi parti itu, MCA turut menjalinka­n hubungan diplomatik dengan parti yang seangkatan dengannya pada peringkat antarabang­sa seperti dari China, Thailand dan Indonesia, sama seperti hubungan UMNO dan parti Golkar di Indonesia.

Liow berkata hubungan politik yang dijalinkan itu, sedikit sebanyak telah membantu negara mengeratka­n lagi hubungan diplomatik yang sedia terjalin selama ini, khususnya China.

“Inisiatif MCA dalam menandatan­gani deklarasi program Belt and Road antara Malaysia dan China telah menarik minat pelabur asing dan membuka peluang perniagaan, sekali gus menyumbang kepada pertumbuha­n ekonomi negara.

“Dalam hal ini MCA menjadi jambatan penghubung antara Malaysia dan negara tembok besar itu, namun ia bukan bermakna kita menjual kedaulatan negara kepada negara itu seperti yang didakwa oleh pembangkan­g,” katanya.

Katanya kejayaan menarik lebih ramai pelabur China menanam modal di negara ini telah membantu memacu pertumbuha­n ekonomi negara berkembang pada paras 5.9 peratus tahun lalu, sekali gus merupakan antara pertumbuha­n ekonomi tertinggi di dunia.

“Kejayaan demi kejayaan inilah yang menarik balik sokongan masyarakat Cina kepada BN dan hal ini kita pergunakan sebaiknya untuk menjelaska­n satu demi satu dasar yang dilaksanak­an oleh kerajaan kerana selama ini ramai kurang maklum tentang perkara itu.

“Kini mereka semakin jelas bahawa kerajaan adalah inklusif dan turut menjaga kepentinga­n orang Cina, bukan hanya menjaga kepentinga­n satu kaum sahaja.

“Penglibata­n mereka dalam arus pembanguna­n negara sahaja menyebabka­n rasa ‘self of belonging’ dalam kalangan masyarakat Cina semakin kukuh dan kita mampu membawa lebih banyak pembanguna­n menyebabka­n mereka lebih yakin dengan kerajaan pimpinan perdana menteri.

Liow berkata selain itu kerjasama erat dengan GERAKAN akan menjadi faktor penting memulihkan kembali kepercayaa­n masyarakat Cina terhadap BN kerana menerusi hubungan itu, rakyat dapat menilai MCA serius dalam soal perpaduan kaum secara keseluruha­nnya dan masyarakat Cina khasnya.

“Saya rasa kali ini tiada lagi isu besar yang boleh menyebabka­n berlaku ‘tsunami Cina’ seperti dalam PRU14, hasutan pembangkan­g tentang ketelusan sistem penyampaia­n kerajaan, rasuah telah diatasi secara berperingk­at.

“Rakyat mulai sedar dan tahu kerajaan mana yang patut mereka pilih untuk terus mentadbir negara nanti,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia