Utusan Borneo (Sarawak)

Tengku Abdullah titah Hutan Merapoh dijadikan hutan simpan kekal

-

LIPIS: Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menitahkan kawasan seluas 668.9 hektar kawasan Hutan Merapoh yang sebelum ini telah diluluskan untuk dijadikan kawasan pertanian, diwartakan sebagai hutan simpan kekal.

Tengku Abdullah bertitah langkah itu perlu bagi memastikan khazanah alam di kawasan berkenaan yang menjadi tarikan kepada pelancong dan sumber ekonomi penduduk sekitar terus terpelihar­a.

“Mana-mana kawasan yang telah lulus untuk diterokai perlu diperbaiki dan ditanam semula… pembalakan juga harus dihentikan dan usaha memulihkan dipercepat­kan.

“Status kawasan yang belum diusik untuk pembalakan dan pertanian pula dijadikan kawasan hutan simpan kekal supaya ia tidak lagi boleh disentuh,” titah baginda kepada media selepas program taklimat di kawasan pembalakan Hutan Simpan Persit, Merapoh sempena lawatan kerja dua hari di daerah Lipis di sini, semalam.

Program turut dihadiri oleh Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob, Pengarah Perhutanan Negeri Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin dan Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Pertanian negeri Pahang (PKPP) Datuk Wan Bakri Wan Ismail.

Sebelum ini, kerajaan negeri telah meluluskan kawasan seluas 668.9 hektar kepada PKPP pada 31 Jun 1992 bagi tujuan pertanian dengan pembalakan mula dilakukan pada 15 April tahun lepas.

Bagaimanap­un isu itu mula dibangkitk­an oleh badan bukan kerajaan berkaitan alam sekitar pada Oktober tahun lepas kerana ia didakwa menjejaska­n aktiviti pelanconga­n berasaskan alam semula jadi di kawasan itu seperti penerokaan hutan di Gua Padang Kawad atau lebih dikenali sebagai Gua Hari Malaysia.

Berikutan itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengeluark­an notis perintah larangan pembalakan kepada pelesen pada 15 Nov tahun lepas selepas penilaian mendapati syarikat itu gagal menyediaka­n laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).

Dalam tempoh itu, difahamkan sebanyak 200 hektar daripada kawasan berkenaan telah diteroka manakala 70 peratus lagi masih terselamat berikutan terletak di kawasan tanah tinggi dan berbukit.

Tengku Abdullah selain itu turut menegur kerajaan negeri selepas ini supaya lebih berhati-hati sebelum mengeluark­an sebarang lesen untuk membalak mahupun untuk tujuan pertanian.

“Kena lihat dengan teliti mana yang boleh diberikan lesen dan mana yang tidak, hutan dara kalau boleh kekalkan, mana yang ada sungai bersih dan belum terusik kena pelihara, itu khazanah kita yang perlu diwarisi untuk generasi akan datang.

“Saya pun bimbang kalau berterusan, mungkin suatu hari nanti, kita tidak lagi mempunyai kesedaran… kerajaan negeri perlu ada kesedaran, rakyat perlu ada kesedaran, tidak perlu ada pihak lain untuk menyedarka­n kita.

“Saya sendiri rasa terpanggil untuk berkongsi kesedaran ini demi mengekalka­n khazanah alam dan memelihara hutan simpan kita… kalau kerajaan negeri tidak boleh berbuat demikian berterus terang, jangan berdolak-dalik,” katanya.

Dalam masa yang sama, baginda menitahkan supaya agensi yang berkenaan seperti Jabatan Perhutanan dan Pejabat Tanah dan Galian negeri perlu mengambil tindakan penguatkua­saan lebih tegas.

“Saya harap ketika kerajaan negeri melulus kawasan untuk kerja pembalakan mahupun pertanian, perlu ada kaedah baharu atau perlu tingkatkan usaha perhutanan semula supaya kawasan ini bertambah pada masa akan datang.

“Dalam masa yang sama kawasan rizab perlu diperbanya­kkan supaya ia boleh diwariskan kepada generasi masa akan datang,” titah baginda.

Tengku Abdullah turut mengharapk­an agar kerajaan negeri pada masa akan datang dapat memikirkan satu sumber pendapatan alternatif dan tidak hanya bergantung kepada hasil pembalakan dan tanah. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? TINJAU: Tengku Abdullah (dua kanan) melihat air yang mengalir dari dalam Gua Padang Kawat ketika meninjau penerokaan Hutan Simpan Merapoh di Lipis semalam.
— Gambar Bernama TINJAU: Tengku Abdullah (dua kanan) melihat air yang mengalir dari dalam Gua Padang Kawat ketika meninjau penerokaan Hutan Simpan Merapoh di Lipis semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia