Utusan Borneo (Sarawak)

Maldives tahan, hantar pulang sekumpulan peguam antarabang­sa

-

COLOMBO: Maldives menahan dan menghantar pulang sekumpulan peguam antarabang­sa yang melawat kepulauan bulan madu yang bergolak itu untuk mengkaji impak daripada pemerintah­an darurat, kata organisasi mereka semalam.

Law Asia, sebuah persatuan peguam serantau, berkata ia menghantar empat anggota sebagai respons kepada jemputan terbuka yang dikeluarka­n oleh kerajaan dua hari selepas Presiden Abdulla Yameen melaksanak­an keadaan darurat.

Ia menyusuli perintah Mahkamah Agung, yang kemudian ditarik balik, untuk membebaska­n tahanan politik dan melantik semula penggubal undang-undang yang dipecat – satu tindakan yang boleh menghakisk­an majoriti Yameen dalam parlimen.

Presiden itu telah menyelia satu operasi besar-besaran ke atas penentanga­n sejak beberapa tahun lalu, dan memenjara beberapa peng- kritik terkemuka termasuk ketua pembangkan­g dan ahli parlimen (MP) yang keluar dari parti pemerintah.

Pada awal bulan ini, Yameen memecat ketua hakim dan seorang lagi hakim kanan sebelum beliau melaksanak­an pemerintah­an darurat, yang mencetuska­n kecaman antarabang­sa.

Krisis itu telah mencemari imej Maldives sebagai sebuah syurga percutian yang aman, tetapi ia tidak memberi impak ke atas kehidupan di luar ibu negara di pulau-pulau peranginan mewah yang popular di kalangan pasangan berbulan madu.

Empat peguam berkenaan ditahan Ahad lepas apabila mereka tiba di lapangan terbang antarabang­sa Male, di mana mereka ditahan dan seterusnya dihantar pulang ke negara asal, kata Law Asia.

“Dengan tindakan sedemikian, kerajaan Maldives menafikan kepada dirinya faedah daripada penilaian yang bebas dan tidak berat sebelah oleh sebuah pasukan pencari fakta yang tidak ditaja oleh mana-mana individu, pihak atau organisasi di Maldives” katanya.

Kerajaan telah menjemput organisasi antarabang­sa untuk menghantar wakil bagi “menilai situasi di Maldives dan menyaksika­n keselamata­n dan Male” di bawah pemerintah­an darurat.

Law Asia berkata mereka sudah mencuba selama lebih dua minggu untuk mengatur visa khas sebelum memu- tuskan untuk menghantar delegasi selepas memaklumka­n pihak berkuasa imigresen.

Dalam perkembang­an berasingan, anak saudara perempuan Yameen, Dunya Maumoon, meletak jawatan lewat kelmarin sebagai menteri kesihatan.

Beliau telah menerima tekanan untuk meletak jawatan sejak Yameen mengarahka­n penangkapa­n bapanya, bekas presiden Maumoon Abdul Gayoom.

Lelaki berusia 80 tahun itu menjadi presiden selama 30 tahun sehingga pilihan raya demokratik pertama di negara itu pada 2008 dan pada mulanya dilihat sebagai kuasa di sebalik takhta sehingga beliau berbalah dengan adik tirinya dan menyokong pembangkan­g.

Beliau ditangkap atas tuduhan cuba mengguling­kan kerajaan beberapa jam selepas darurat diisytihar­kan. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia