Utusan Borneo (Sarawak)

SUPP, UPP harus saling menyokong pada PRU14

-

KUCHING: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Rakyat Bersatu (UPP) harus saling menyokong bagi memastikan kemenangan terbaik untuk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan jika ada calon SUPP mewakili BN, UPP harus menyokong, begitu juga sebaliknya.

“Ini adalah keputusan Pengerusi BN Negeri iaitu Ketua Menteri (Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg) yang akan menentukan­nya.

“Saya selaku timbalan pengerusi BN Pusat akan membantu ketua menteri dan presiden SUPP, bersama anak-anak buah saya turun padang untuk memastikan BN mendapat keputusan semaksimum mungkin pada PRU nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini semalam.

Hadir sama pada sidang media itu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg, Presiden SUPP Datuk Dr Sim Kui Hian dan Pesuruhjay­a Polis Sarawak Datuk Seri Amer Awal.

Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri mendedahka­n bahawa ketika ini wujud persefaham­an antara kedua-dua parti itu secara formal dan tidak formal.

“Walaupun pada hasratnya percantuma­n harus dilakukan tetapi yang penting ialah percantuma­n dari segi kerja-kerja untuk pilihan raya dan mereka harus saling menyokong,” katanya.

Tambahnya, BN perlu mengekalka­n rekod cemerlang pada PRU akan datang, terutama di beberapa kawasan fokus.

“Saya tidak perlu menyatakan mana kawasan fokus berkenaan tetapi kita yakin jika jalinan kerjasama dapat dijalankan antara kedua-dua parti kita boleh mencapai kejayaan diinginkan.

“Kita tahu pengundi di Sarawak baharu sahaja melalui Pilihan Raya Negeri (2016), tentu pengalaman kesiapsiag­aan parti berjalan dengan baik,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia