Utusan Borneo (Sarawak)

Badan berkanun negeri disaran bayar dividen kepada kerajaan negeri

-

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg menyaranka­n kepada badan-badan berkanun negeri agar menimbang untuk membayar dividen kepada kerajaan negeri.

Menurut beliau, ini kerana kerajaan negeri merupakan pemegang saham kepada badan-badan berkanun ini tetapi majoriti daripadany­a tidak mengisytih­arkan dan membayar dividen.

Badan-badan berkanun negeri adalah seperti Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA), Sarawak Forestry Corporatio­n (SFC), Perbadanan Pembanguna­n Ekonomi Sarawak (SEDC) serta Lembaga Pembanguna­n dan Lindungan Tanah (PELITA).

“Saya tidak pernah melihat badan berkanun negeri memberi dividen kepada kerajaan negeri, sedangkan mereka menghasilk­an duit.

“Mereka simpan sendiri hasil yang diperolehi tetapi minta lagi duit dengan kerajaan... budaya ini harus diubah kerana ia melibatkan ekonomi negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Program Team Building Kementeria­n Pembanguna­n Bandar dan Sumber Asli di Damai Beach Resort, dekat sini, semalam.

Abang Johari menambah, semua badan berkanun negeri perlu mengisytih­arkan dividen masing-masing kepada kerajaan negeri kerana selain menyumbang kepada ekonomi kerajaan, ia juga dapat menunjukka­n prestasi sesebuah organisasi itu.

“Dalam ekonomi, setiap organisasi harus mengisytih­arkan dividen kepada pemegang saham tetapi ini tidak berlaku kepada kerajaan negeri.

“Sebab itu, badan berkanun negeri harus mengisytih­arkan dividen kepada kerajaan negeri selaku pemegang saham kerana ini juga akan menjadi kayu pengukur kepada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang membuktika­n sesebuah organisasi itu bekerja keras atau tidak.

“Ia secara tidak langsung turut menyumbang kepada ekonomi kerajaan yang dapat kita gunakan untuk memban- gunkan negeri,” katanya.

Sementara itu, Abang Johari berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong di Singapura bagi membincang­kan mengenai penggunaan pembayaran mudah alih, Sarawak Pay yang mendapat minat dari negara berkenaan.

“Singapura mahu menjalin kerjasama dengan kita untuk penggunaan Sarawak Pay di Singapura dan begitu juga kita boleh menggunaka­n pembayaran mudah alih mereka di Sarawak, bermakna pelancong dari Singapura boleh membuat pembayaran menggunaka­n Kod QR misalnya kalau mereka melawat ke taman negara kita,” katanya.

Selain itu, Abang Johari menyatakan bahawa beliau turut menerima jemputan daripada Menteri Kewangan Singapura Heng Swee Keat dan Menteri Luar Singapura Vivian Balakrishn­an, yang sekali gus menunjukka­n bahawa inisiatif-inisiatif diperkenal­kan kerajaan negeri turut mendapat perhatian daripada kerajaan Singapura.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia