Utusan Borneo (Sarawak)

Jabatan Pendidikan disaran tubuh kelas kluster guna sistem teknologi digital

-

KUCHING: Jabatan Pendidikan Sarawak disaran menubuhkan kelas kluster baharu menggunaka­n sistem teknologi digital di setiap Pejabat Pendidikan Daerah ( PPD) di seluruh negeri ini.

Demikian kata Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidik­an Teknologi Dato Sri Michael Manyin Jawong semasa Majlis Penutupan Ekspo Reka Cipta, Inovasi dan Reka Bentuk (SIIDEX) 2018 yang disempurna­kan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg di sini, semalam.

Manyin berkata, kementeria­nnya telah memberi arahan kepada jabatan tersebut untuk melakukan saranan demikian bagi melahirkan modal insan yang berpengeta­huan dalam bidang teknologi atau digital bertaraf antarabang­sa.

“Semalam (dua hari lalu) Ketua Menteri kita telah melawat St Joseph’s Internatio­nal School dan beliau mendapati sekolah itu ada menyediaka­n kelas yang membuat aktiviti pengaturca­raan berkaitan permainan serta reka bentuk dengan menggunaka­n teknologi digital.

“Inilah (contoh) kelas yang kita mahu ikut dan kerana itu, saya telah berbincang dengan pengarah Jabatan Pendidikan Negeri untuk mengadakan dua kelas kluster baharu seperti itu di setiap PPD di seluruh Sarawak sebagai model.

“Ia bukanlah kelas berbentuk konvension­al tetapi kelas baharu yang mempunyai sistem kluster menggunaka­n teknologi digital,” katanya.

Manyin percaya dengan mewujudkan kelas seumpama itu, Sarawak mampu melahirkan generasi muda yang lebih berpengeta­huan, berdaya saing dan lebih kreatif.

“Jadi, inilah caranya dan saya harap para pelajar akan bermotivas­i untuk meminati mata pelajaran Sains dan Matematik nanti,” katanya.

Sementara itu Manyin merakamkan penghargaa­n kepada Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak atas kesudian mereka bekerjasam­a dengan kementeria­nnya dalam penganjura­n SIIDEX 2018.

Beliau berharap dengan penganjura­n ekspo itu, ia dapat menggalakk­an dan memupuk minat dalam aktiviti sains, teknologi, kejurutera­an dan matematik.

Sementara itu, Timbalan Rektor UiTM Sarawak Profesor Madya Dr Rasidah Mahdi berkata, ekspo itu berjaya menarik penyertaan seramai 677 peserta terdiri daripada pelajar sekolah, pelajar sarjana muda,ahli akademik universiti, penyelidik dan sebagainya.

Daipada jumlah itu katanya, terdapatk 153 produk daripada empat kategori yang bersaing dalam SIIDEX 2018.

“Ini termasuk 49 produk dari sekolah menengah di bawah kategori A, 25 produk (kategori B) melibatkan pelajar institusi pengajian tinggi , 28 produk ( kategori C) melibatkan ahli akademik, penyelidik dan pelajar sarjana muda serta 51 produk (kategori D),” ujarnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia