Utusan Borneo (Sarawak)

Kerjasama semua pihak perlu jadikan Kuching bandar raya khazanah dunia

-

KUCHING: Usaha dan kerjasama daripada semua pihak berkepenti­ngan adalah diperlukan bagi merealisas­ikan visi kerajaan negeri untuk menjadikan Kuching sebagai bandar raya khazanah dunia.

Ahli Dewan Bandaraya Kuching Utara Datuk Wee Hong Seng berkata kerajaan boleh memandu inisiatif ini dengan membuat perubahan dalam ordinan dan menubuhkan jabatan untuk menyelaras usaha bagi melindungi dan memperkuku­hkan khazanah kita.

Tetapi katanya, usaha ini tidak cukup di mana kerajaan turut memerlukan bantuan daripada konsultan dan pakar perancanga­n untuk meneruskan pembanguna­n di negeri ini.

Sebagai contoh katanya, dalam usaha ke atas Taman Perpaduan, kerajaan bekerjasam­a dengan ramai pakar untuk memaksimum­kan landskap dan mengetenga­hkan khazanah Taman Perpaduan.

“Kami juga memerlukan bantuan daripada masyarakat umum untuk menyemai kesedaran ke atas khazanah kita.

“Dengan kerjasama daripada semua pihak, pelancong yang datang ke Kuching akan dapat menikmati dan mempelajar­i keunikan khazanah kita,” katanya ketika berucap pada Festival Chap Goh Meh di Lebuh India malam kelmarin.

Bercakap mengenai festival tersebut, Wee yang juga pengerusi penganjur berkata tahun ini, festival ini diadakan di Lebuh India bertepatan dengan kedudu- kan tempat ini yang terletak di tengah-tengah bandar raya Kuching.

Festival ini turut dimeriahka­n lagi dengan pelbagai aktiviti menarik antaranya persembaha­n tarian singa dan naga, persembaha­n bunga api, persembaha­n tarian tradisiona­l Cina, Melayu dan India dan persembaha­n gendang Cina.

Terdahulu sebaik ketibaan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg, beliau serta tetamu yang lain melakukan upacara membaling limau yang merupakan amalan tradisi masyarakat Cina pada sambutan Chap Goh Meh.

Festival tersebut telah menarik kehadiran ramai pengunjung yang terdiri daripada pelbagai kaum termasuk pelancong dari dalam dan luar negara.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia