Utusan Borneo (Sarawak)

Polis Johor dan Masjid jalin kerjasama banteras jenayah

-

JOHOR BAHRU: Polis Johor bertindak proaktif menerusi jalinan kerjasama dengan pihak pengurusan masjid di negeri ini melalui program ‘Satu Masjid Satu Polis’ (1M1P) sebagai usaha membantera­s kegiatan jenayah secara menyeluruh termasuk di kawasan masjid.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata program dengan usaha sama Jabatan Agama Islam Negeri Johor itu juga bertujuan untuk meluaskan jaringan kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak pengurusan masjid.

“Program 1M1P ini amat baik, yang mana pihak pengurusan masjid dapat menyampaik­an aduan dan maklumat terus kepada anggota atau pegawai polis yang ditugaskan sebagai pegawai perhubunga­n masjid, sekiranya terdapat sebarang kejadian berlaku di kawasan masjid mahupun di luar kawasan masjid.

“Setakat ini, seramai 32 pegawai perhubunga­n masjid telah dipilih dan masing- masing ditempatka­n di 32 masjid di Johor Bahru Selatan dan kita bercadang untuk meluaskan program ini di seluruh daerah,” katanya selepas melancarka­n program ‘ High Profile Policing’ di Masjid Jamek Kampung Melayu Majidee, di sini semalam.

Katanya program 1M1P yang bermula semalam di seluruh Johor itu juga akan memastikan pegawai perhubunga­n masjid membuat lawatan sekurang-kurangnya dua kali sebulan bagi berinterak­si dan mendapatka­n maklum balas terhadap keselamata­n masjid dan sekitarnya.

“Pihak polis bukan sahaja melakukan pemantauan berterusan, malah turut terlibat dalam program yang dilaksanak­an masjid, selain memberi ceramah dan kempen mengenai kaedah pencegahan jenayah,” katanya.

Mohd Khalil berkata masyarakat juga perlu membantu pihak polis dengan sentiasa mengawasi gerak- geri orang awam di sekeliling bagi mengelak kejadian tidak diingini daripada berlaku. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia