Utusan Borneo (Sarawak)

Coleman serlah kehebatan dalam acara pecut 60 meter, Dibaba bolot dua pingat emas

-

BIRMINGHAM, England: Christian Coleman mengesahka­n status beliau sebagai pelari pecut muda berbakat dalam era pasca-Usain Bolt apabila memenangi acara pecut 60 meter sementara bintang legenda Habsyah, Genzebe Dibaba memenangi dua pingat emas pada kejohanan dunia dalam dewan Sabtu lepas.

Coleman tiba di Birmingham selepas memenangi satu rekod dunia baharu untuk kejohanan dalam dewan dengan masa 6.34 saat dan pelari dari Amerika Syarikat (AS) itu terus mencuri perhatian dunia dengan ketiadaan Bolt yang kini sudah bersara.

Bermula di lorong empat, Coleman bermula cemerlang dan melepasi garisan penamat dengan masa 6.37 saat, mengatasi Su Bingtian dari China, yang mengurangk­an rekod Asia kepada 6.42 saat dan rakan senegara Coleman, Ronnie Baker, memenangi gangsa.

“Saya mempunyai peluang yang baik untuk mengetuai sukan ini dalam era pasca-Bolt tetapi sep- erti yang saya katakan sebelum ini, ada ramai atlet berbakat di luar sana,” kata Coleman.

“Saya harus memastikan saya terus berusaha untuk kekal di kemuncak dan apabila saya mempunyai peluang memenangi pingat, saya akan cuba melakukann­ya.”

Dibaba, yang juga pemenang rekod dunia, sekali lagi menunjukka­n prestasi cemerlang beliau dengan memenangi acara 1,500 meter dalam dewan buat kali kedua, dua hari selepas memenangi acara 3,000 meter untuk kali ketiga berturut-turut.

Dibaba kelihatan tidak tercabar apabila mengatasi dua lawan yang sama seperti dalam acara 3,000 meter, kali ini Laura Muir dari Britain memenangi perak dan Sifan Hassan dari Belanda memenangi gangsa.

Pada malam yang gemilang untuk atlet AS, ada rekod kejohanan dicipta oleh rakan sepasukan Coleman, Sandi Morris dan Kendra Harrison.

Morris memenangi acara lompat bergalah wanita dengan melepasi paras 4.95 meter, mengatasi Anzhelika Sidorova dari Rusia, yang bertanding atas tiket berkecuali selepas melepasi 4.90 meter.

Katerina Stefanidi dari Greece, juara dunia, Eropah dan Olimpik, hanya menduduki tempat ketiga dengan melepasi 4.80 meter.

Harrison, pemegang rekod dunia acara 100 meter lompat pagar, mencipta masa ketiga terpantas sepanjang zaman apabila memenangi perlumbaan dengan masa 7.70 saat Sabtu lepas.

Rakan senegarany­a, Christina Manning, memenangi pingat perak sementara Courtney Okolo juga mengetuai kemenangan satu dua atlet AS dalam acara 400 meter bersama-sama Shakima Wimbley.

AS juga memenangi emas acara lompat kijang menerusi pemenang kejohanan dunia dan Olimpik, Will Claye, yang melakukan lompatan sejauh 17.43 meter untuk kejuaraan dunia dalam dewan kedua selepas memenangin­ya pada 2012 di Istanbul.

Atlet Poland, Adam Kszczot juga akhirnya memenangi emas pada kejohanan dunia selepas dua tahun memenangi perak dalam acara 800 meter, menambah koleksi perak dan gangsa yang dimenangi dalam kejohanan dalam dewan.

Beliau tidak menghadapi masalah untuk menang dalam masa 1 minit 47.47 saat, diikuti Drew Windle dari AS dan Saul Ordonez dari Sepanyol di tempat ketiga.

Kontrovers­i berlaku lagi dalam acara 400 meter selepas lebih banyak pembatalan kerana memasuki lorong lawan.

Pavel Maslak dari Republik Czech menjadi atlet pertama untuk memenangi tiga kejohanan dunia dalam dewan berturut-turut apabila dinaikkan dari tempat ketiga ke tempat pertama selepas Oscar Husillos dari Sepanyol, pemenang pada perlumbaan itu dengan masa 44.92 saat dan Luguelin Santos dari Dominica, dibatalkan kemenangan mereka. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia