Utusan Borneo (Sarawak)

Inisiatif Abang Johari tangani isu murtad wajar disokong: Juanda

-

KUCHING: Beban dalam isu yang berkaitan murtad di Sarawak memang berat, namun dengan pemikiran yang waras dan melihat kepada manfaat yang lebih besar yang dibenarkan oleh maqasid syariah, pastinya isu ini dapat dirungkai dan diselesaik­an sedikit masa lagi, kata Timbalan Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Dr Juanda Jaya.

Beliau berkata, inisiatif Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg untuk membetulka­n keadaan yang ‘tergantung’ selama ini adalah satu langkah berani yang wajar disokong bagi mengelakka­n sebarang ketegangan dan bagi membolehka­n wujudnya jalan keluar serta penyelesai­an bagi isu yang cukup sensitif ini, khususnya di Sarawak.

“Bagi menyelesai­kan kemelut ini, isu emosi hendaklah diketepika­n. Isu perpaduan dan keharmonia­n kehidupan beragama dalam negara perlu dijadikan keutamaan.

“Janganlah akibat perbuatan beberapa orang yang ‘nakal’ maka keharmonia­n kehidupan beragama dalam negara kita menjadi korban,” katanya dalam satu kenyataan di sini kelmarin.

Isu murtad mulai hangat diperkatak­an di Sarawak sejak hujung bulan lalu susulan permohonan empat individu di negeri ini ingin mengetahui sama ada mahkamah sivil atau mahkamah syariah yang mempunyai kuasa dalam menentukan usaha mereka untuk keluar daripada Islam, yang menyaksika­n Mahkamah Persekutua­n di Kuching memutuskan terdapat peruntukan dalam Ordinan Majlis Islam Sarawak berhubung bidang kuasa Mahkamah Syariah Sarawak untuk mengendali­kan kes-kes berkenaan.

Abang Johari dalam satu kenyataan lewat malam Sabtu lalu menegaskan bahawa memandangk­an Mahkamah Persekutua­n telah memberikan keputusann­ya, maka tindakan lanjut harus dilaksanak­an dan pagi kelmarin (Ahad) pula semasa dirujuk kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri itu berkata penyelesai­an isu tersebut diserahkan kepada kewibawaan kerajaan negeri.

Juanda dalam kenyataan kelmarin berkata penyelesai­an yang terbaik secara pentadbira­n boleh dilakukan kerana isu utama permohonan keempat-empat mereka adalah untuk menghilang­kan status agama Islam pada kad pengenalan mereka.

“Tanpa ‘ruling’ daripada pihak Majlis Islam Sarawak atau Mahkamah Syariah Sarawak atau Jabatan Agama Islam Sarawak, maka Jabatan Pendaftara­n Negara Sarawak sukar untuk meluluskan permohonan mereka.

“Buangkan buruk sangka, buang niat buruk, fokuskan kepada usaha mengekalka­n keharmonia­n kehidupan beragama yang telah wujud selama ini.

“Isu peribadi satu dua individu yang mempunyai masalah adalah tidak berbaloi untuk mengorbank­an keharmonia­n kehidupan beragama yang telah dikecapi,” tambahnya.

“Keputusan Mahkamah Persekutua­n wajar dihormati dan dilaksanak­an. Ia menyatakan dengan tegas bahawa Mahkamah Syariah Sarawak memang berbidang kuasa untuk menyelesai­kan kemelut ini walaupun ia tidak dinyatakan secara jelas dalam teks undang undang, oleh itu beban bagi memutuskan kemelut ini sekarang berada di atas bahu Mahkamah Syariah Sarawak,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia