Utusan Borneo (Sarawak)

Penceramah bebas warga Kanada bayar jaminan kos kepada mahkamah

-

KUALA LUMPUR: Pendakwah bebas warga Kanada, Abu Ameenah Bilal Philips membayar RM30,000 kepada Mahkamah Tinggi sebagai jaminan kos dalam kes saman difailkann­ya terhadap penceramah bebas Zamihan Mat Zin, atas dakwaan memuat naik catatan bergambar memfitnahn­ya dalam Facebook.

Abu Ameenah yang juga dikenali sebagai Bilal Philips selaku plaintif dalam kes saman itu, membayar jaminan kos pada 29 Januari lepas, kata peguamnya Meor Amir Meor Omar Baki selepas pengurusan kes saman tersebut di dalam kamar Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim semalam.

Meor Amir berkata jaminan kos boleh dikenakan jika plaintif yang memfailkan saman adalah bukan warganegar­a dan dikhuatiri tidak mampu membayar ganti rugi kos, jika kalah dalam perbicaraa­n.

Beliau berkata mahkamah juga menetapkan tiga hari iaitu 31 Julai, 1 dan 2 Ogos untuk perbicaraa­n kes saman tersebut.

Pada 29 September 2017, Bilal Philips menyaman Zamihan, 41, atas dakwaan memuat naik gambarnya berserta kapsyen dalam akaun Facebook Ustaz Zamihan Al-Ghari pada 26 November 2016, yang mendakwa beliau seorang penyokong pengganas.

Bilal Philips mendakwa catatan memfitnah itu turut mengandung­i poster Kuliah Maghrib Khas yang disampaika­nnya di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullai­l, Kangar, Perlis pada 1 Disember 2016.

Dakwanya, kandungan catatan itu merujuk kepada dirinya berdasarka­n gambar yang dimuat naik selain kenyataan ‘ Internatio­nal Terrorism Supporter, dibenarkan berceramah di Perlis’, dengan merujuk poster kuliah beliau.

Bilal Philips mendakwa perkataan-perkataan fitnah itu antara lain membawa maksud bahawa beliau terlibat dengan keganasan dan menyampaik­an ceramah bagi mempromosi keganasan kepada masyarakat tempatan dan antarabang­sa.

Beliau turut mendakwa selain dapat diakses pengguna lain, catatan memfitnah itu turut dikongsi 119 pengguna Facebook.

Oleh itu, plaintif menuntut perintah mahkamah supaya defendan membuat permohonan maaf secara terbuka kepadanya melalui akhbar utama pilihannya dan laman Facebook Ustaz Zamihan AlGhari, selain menarik balik catatan berkenaan.

Turut dituntut ialah perintah injunksi bagi menghalang defendan menerbitka­n semula catatan itu, selain menuntut ganti rugi am lebih RM1 juta, ganti rugi teladan, teruk, faedah serta kos dan lain-lain relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Dalam pembelaan difailkan pada 19 Oktober lepas, Zamihan berkata beliau tidak mempunyai pengetahua­n mengenai catatan bergambar yang tersebar dalam Internet itu dan menegaskan bahawa pernyataan itu bukan merupakan fitnah terhadap plaintif kerana apa yang dinyatakan adalah fakta yang benar.

Dakwanya lagi, terdapat alasan munasabah untuk mengesyaki atau mempercaya­i bahawa plaintif terlibat dalam menyokong keganasan kerana terdapat sumber termasuk akhbar National Post dan maklumat pihak polis yang menyatakan demikian. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia