Utusan Borneo (Sarawak)

Gaduh di restoran, 17 individu ditahan di JB

-

JOHOR BAHRU: Seramai 17 individu termasuk lapan wanita warga tempatan dan Vietnam ditahan awal pagi semalam kerana disyaki terlibat dalam pergaduhan di sebuah restoran makanan laut di Stulang Laut, dekat sini, tiga hari lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, kesemua suspek berusia lingkungan 20- an hingga 50- an itu ditahan di sekitar bandar raya ini pada jam 3 hingga 4 pagi semalam.

“Kita telah menggerakk­an pasukan siasatan bagi mengesan suspek yang terlibat dalam pergaduhan tersebut dengan berpanduka­n rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian.

“Hasil siasatan, seramai sembilan lelaki dan lapan wanita, termasuk pelaku utama, berjaya ditahan hingga pagi tadi.

Kesemua mereka ditahan bagi membantu siasatan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini semalam.

Beliau berkata, pergaduhan itu dipercayai tercetus apabila terdapat sekumpulan individu yang sedang mabuk, berang setelah makanan dipesan lambat sampai.

Kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan atas kesalahan bergaduh di tempat awam.

“Mereka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru petang ini untuk tindakan selanjutny­a,” kata Mohd Khalil lagi.

Kelmarin, video berdurasi 4 minit 26 saat yang memaparkan insiden pergaduhan di sebuah restoran di Stulang Laut itu tular di laman Facebook, selain turut dikongsi orang awam menerusi aplikasi WhatsApp.

Sementara itu, beliau berkata, seramai 5,572 anggota polis akan ditugaskan bagi menjaga keselamata­n sepanjang proses pilihan raya umum ke- 14 ( PRU14) di seluruh negeri ini.

Beliau berkata, polis Johor sentiasa dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi PRU14 yang akan diadakan pada bila-bila masa ini.

Penugasan anggota itu disifatkan Mohd Khalil sebagai memadai, selain persiapan jentera bagi berdepan situasi tidak dijangka.

“Kesemua anggota tersebut akan diletakkan di pusat mengundi dan kawalan keselamata­n di seluruh negeri ini.

“Kita juga yakin dan memberi jaminan bahawa sepanjang PRU14 berlangsun­g keadaan akan terkawal dan lancar,” kata beliau. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia