Utusan Borneo (Sarawak)

Mayat lelaki Jerman ditemukan di hotel

-

BUKIT MERTAJAM: Seorang lelaki warga Jerman ditemui mati di dalam bilik sebuah hotel di Seberang Jaya di sini semalam, dipercayai akibat serangan jantung.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata mayat Ralf Der, 56, ditemui oleh rakannya yang datang ke bilik hotel lelaki itu kira-kira jam 8.20 pagi semalam.

“Berdasarka­n maklumat awal, lelaki itu menginap di hotel berkenaan sejak 24 Feb lepas dan dia yang bekerja dengan sebuah syarikat elektronik berada di Malaysia kerana urusan kerja.

“Menurut rakannya, kali terakhir dia melihat mangsa kira-kira jam 4 petang Sabtu dan selepas itu lelaki berkenaan gagal dihubungi sebelum dia datang ke hotel tersebut untuk melihat keadaan mangsa,” katanya di sini semalam.

Nik Ros berkata berdasarka­n pemeriksaa­n awal forensik di tempat kejadian, tiada unsur jenayah dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat.

Dalam perkembang­an lain, Nik Ros Azhan berkata polis menahan lapan individu termasuk dua wanita yang merupakan penagih serta pengedar dadah dalam dua serbuan berasingan di Machang Bubok dan Berapit, di sini pada Sabtu.

Katanya, dalam serbuan pertama di sebuah rumah kira-kira jam 3.30 petang di Machang Bubok, polis menahan empat lelaki dan dua wanita berusia 26 hingga 34 tahun yang sedang menghisap dadah di kediaman seorang daripada mereka.

“Polis turut merampas pelbagai jenis dadah, antaranya, heroin, syabu dan ganja bernilai hampir RM5,000 serta peralatan menghisap dadah.

Mereka yang ditahan itu dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah dan aktif dalam kegiatan berkenaan sejak tahun lepas,” katanya.

Beliau berkata dalam serbuan kedua pada jam 10.30 malam di Berapit, polis menahan dua lelaki berusia 46 dan 66 tahun serta merampas dadah jenis heroin dan syabu bernilai kira- kira RM3,000. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia