Utusan Borneo (Sarawak)

Maria Farida peroleh ganti rugi RM400,000 kes saman

-

KUALA LUMPUR: Pelakon Datin Maria Farida semalam memperoleh ganti rugi berjumlah RM400,000 selepas berjaya dalam kes saman fitnah yang difailkann­ya terhadap ahli perniagaan kosmetik dan anak perempuann­ya, tahun lepas.

Pesuruhjay­a Kehakiman Mahkamah Tinggi Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh membuat keputusan itu selepas mengambil kira kegagalan defendan iaitu Hadijah Mohamed Mokhtar dan anaknya Nur Shazleen Anis Mohd Yusoff, untuk hadir ke mahkamah bagi perbicaraa­n kes saman berkenaan.

Mahkamah memerintah­kan Hadijah membayar ganti rugi RM300,000 manakala Nur Shazleen RM100,000 selain mengarahka­n dua beranak itu membayar kos sebanyak RM50,000 kepada Maria Farida atau nama sebenarnya Maria Faridah Atienza selaku plaintif dalam kes saman itu.

Dalam penghakima­nnya, Wan Ahmad Farid berkata mahkamah juga mengambil kira kesan fitnah yang dilakukan oleh keduadua defendan terhadap Maria Farida.

Katanya, kedua-dua defendan telah memuat naik kenyataan yang memfitnah pelakon itu dalam akaun Instagram milik mereka, yang mempunyai ramai pengikut.

“Defendan pertama (Hadijah) mempunyai 17,300 pengikut dalam Instagramn­ya manakala defendan kedua (Nur Shazleen) mempunyai lebih kurang 13,000 pengikut,” kata Wan Ahmad Farid.

Maria Farida yang diwakili peguam Tengku Haris Tengku Rostam tidak hadir pada prosiding semalam manakala kedua-dua defendan diwakili peguam Hermes Media Putra Ibrahim.

Mahkamah mengeluark­an penghakima­n penuh pada 7 Nov 2017 berikutan kegagalan kedua-dua defendan mematuhi arahan mahkamah termasuk tidak hadir pada prosiding perbicaraa­n yang ditetapkan pada tarikh sama (7 Nov).

Dalam penghakima­n itu, mahkamah antara lain mengeluark­an perintah supaya keduadua defendan membuat permohonan maaf kepada plaintif dan isi kandungann­ya perlu dipersetuj­ui oleh plaintif sebelum diterbitka­n di semua media termasuk Berita Harian dan disiarkan menerusi akaun Facebook dan Instagram milik defendan.

Mahkamah juga membatalka­n tuntutan balas difailkan Hadijah terhadap Maria Farida atas dakwaan pelakon itu membuat kenyataan media berunsur fitnah menerusi sebuah program hiburan pada 25 Okt 2015.

Pada 6 Nov 2017, Wan Ahmad Farid telah membenarka­n perintah komital yang dimohon oleh Maria Farida terhadap Hadijah atas kesalahan menghina mahkamah kerana mengingkar­i perintah injunksi bertarikh 2 Jun 2017 antara lain melarang defendan daripada membuat, mengeluark­an, menerbit, menyiar segala pernyataan terhadap Maria Farida.

Bagi kesalahan tersebut, Wan Ahmad Farid memerintah­kan supaya Hadijah membayar denda RM30,000 dan jika gagal hendaklah dikomitkan (dihantar) ke penjara selama dua minggu.

Maria Farida, 48, menyaman Hadijah atau lebih dikenali sebagai Karen Rahman dan Nur Shazleen pada 30 Dis 2016 atas dakwaan mengeluark­an pernyataan berunsur fitnah terhadap pelakon itu yang disiarkan menerusi Instagram, Facebook dan juga di akhbar Berita Harian.

Dalam pernyataan tuntutan, Maria Farida mendakwa beliau telah menerima beberapa khidmat pesanan ringkas (SMS) yang berunsur penghinaan daripada Hadijah selain mendakwa gambarnya turut digunakan bagi tujuan mempromosi­kan produk KR Beauty Care milik Hadijah walaupun terdapat larangan untuk defendan pertama (Hadijah) berbuat demikian.

Akibat pernyataan berunsur fitnah itu, Maria Farida mendakwa reputasi dan kerjayanya sebagai pelakon telah tercemar. — Bernama

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia