OCBC Malaysia perkenalkan kategori individu memiliki kekayaan bersih tinggi
KUALA LUMPUR: OCBC Bank (Malaysia) Bhd memperkenalkan kategori Individu Memiliki Kekayaan Bersih Tinggi (HNWI) berlainan bagi platform Perbankan Premier, bertujuan menarik golongan yang mempunyai aset di bawah pengurusan (AUM) RM3 juta dan ke atas.
Selaras dengan penambahan baharu itu, bank melancarkan Pelanggan Persendirian Premier (PPC) OCBC, menurut bank itu dalam kenyataan.
Ketua Perkhidmatan Kewangan Pengguna, Lim Wyson berkata PPC menawarkan platform berasaskan kesesuaian model perbankan persendirian dan tawaran itu termasuk khidmat nasihat dan penyelesaian kekayaan khusus dengan disokong keupayaan penyelidikan Platform Kekayaan OCBC Group.
“Keupayaan pasukan penyelidikan meliputi khidmat nasihat pelanggan di seluruh kelas aset utama, perkhidmatan pindahan kekayaan termasuk dana amanah dan insurans, serta pembiayaan portfolio, selain penyelidikan menyeluruh mengenai pilihan lebih 1,000 sekuriti, 30 mata wang dan saham proprietari,” katanya.
PPC akan memanfaatkan momentum yang dicatatkan sejak empat tahun lepas apabila bank meningkatkan dua kali ganda jumlah pelanggan Perbankan Premier dan HNWI.
“Langkah kami seterusnya adalah berkembang secara semula jadi dalam segmen HNWI. Walaupun segmen ini terangkum dalam jumlah pelanggan keseluruhan Perbankan Premier, kami telah mengasingkan jumlahnya dan kami gembira ia hampir dua kali ganda dalam tempoh empat tahun lepas,” katanya.
Beliau berkata, usaha PPC itu adalah seiring dengan peningkatan HNWI Malaysia dan aspirasi negara ke arah menjadikan masyarakat berpendapatan tinggi. — Bernama