Utusan Borneo (Sarawak)

Tiga termasuk sepasang suami isteri ditahan jual ketum kepada pelajar IPT

-

PARIT: Polis menahan tiga suspek termasuk sepasang suami isteri yang menjadikan kegiatan memproses dan mengedar air ketum sebagai sumber pendapatan utama mereka sejak beberapa tahun lalu di sebuah rumah di Persiaran Iskandar, Seri Iskandar di sini pada Ahad.

Serbuan kira-kira jam 2.30 petang itu adalah hasil maklumat orang awam setelah mendapati kebanyakan pelanggan yang membeli air ketum itu terdiri daripada pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) di sekitar daerah Perak Tengah.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Supt Mohamad Zainal Abdullah berkata, kesemua suspek yang berumur lingkungan 41 hingga 58 tahun itu ditahan ketika sedang asyik memproses air ketum.

“Suspek yang berumur 58 tahun itu telah ditahan dua kali sebelum ini atas kesalahan yang sama dan kali ini, dia ditahan bersama isterinya warga Indonesia berumur 41 tahun.

“Mereka dipercayai telah memproses dan menjual air ketum tersebut sejak dua tahun lalu di rumah teres itu dan turut mengupah seorang pekerja berumur 41 tahun bagi menjalanka­n aktiviti mereka yang laris sehingga mampu memperoleh sehingga RM15,000 sebulan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah di sini semalam.

Mohamad Zainal berkata pihaknya turut merampas 133 botol yang diisi air ketum, empat kilogram (kg) daun ke- tum, wang tunai RM1,300 dan alatan memproses daun ketum termasuk 500 botol kosong dipercayai untuk diisi air ketum yang telah diproses.

Jelas beliau, hasil siasatan mendapati operasi memproses dan mengedar daun ketum itu menyasarka­n golongan para pelajar dengan perniagaan itu dimulakan seawal jam 8 pagi hingga 12 tengah malam dan menjual produknya dengan harga serendah RM5 bagi botol kecil (500ml) dan RM10 bagi botol besar (1.5 liter).

“Ini adalah perkara yang membimbang­kan kerana siasatan kita dapati ada sesetengah pelajar telah menjadi pelanggan tetap membeli air ketum hampir setiap hari,” katanya.

Kesemua suspek kini ditahan reman sejak kelmarin sehingga Khamis ini. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia