Utusan Borneo (Sarawak)

APMM tahan dua kapal asing langgar undang-undang laut negara

-

SHAH ALAM: Agensi Penguatkua­saan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim 4 Selangor menahan sebuah kapal pasir pada kedudukan 5.7 batu nautika dari Kuala Sungai Langat dekat sini, petang kelmarin kerana melakukan aktiviti tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Laut.

Timbalan Pengarah Operasi Daerah, Komander Maritim Mohd Iszuadi Mohammad Hassan berkata kapal bernama Yin Hai 15 itu ditahan pada kira-kira jam 4.50 petang.

“Kapten kapal itu pada mulanya enggan memberi kerjasama untuk diiringi ke pejabat Daerah Maritim 4 Selangor di Pelabuhan Klang dan bertindak menurunkan sauh kerana enggan ditahan.

“Kami seterusnya mengarahka­n kapal maritim yang turut serta dalam Ops Redback X itu ke posisi kejadian bagi membantu bot peronda dan kapten kapal berkenaan akhirnya bersetuju memberikan kerjasama bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut Mohd Iszuadi, hasil pemeriksaa­n awal mendapati lima lelaki warganegar­a China berumur antara 29 hingga 55 tahun bekerja di atas kapal berkenaan dan kesemuanya mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah.

Pada hari yang sama kirakira jam 10.30 pagi, Mohd Iszuadi berkata pihaknya turut menahan sebuah kapal barter trade membawa muatan kelapa seberat 150 tan, di kedudukan kirakira lapan batu nautika dari Kapar, Klang, kerana gagal mempamerka­n insurans perkapalan.

“Kesemua tujuh anak kapal termasuk tekong lelaki warganegar­a Indonesia berumur antara 25 hingga 72 tahun kemudianny­a dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah, Pelabuhan Klang untuk siasatan lanjut,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia