Utusan Borneo (Sarawak)

Pergerakan naik turun harga tidak dapat memberikan jangkaan tepat

-

KUALA LUMPUR: Impak kenaikan harga minyak mentah dunia kepada pendapatan negara hanya akan dapat diketahui setelah genap tempoh setahun, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata, pergerakan naik turun harga minyak mentah dunia sekarang tidak dapat memberikan jangkaan yang tepat kepada penambahan pendapatan negara memandangk­an anggaran harga minyak dunia yang diumumkan pada pembentang­an bajet 2018, merupakan anggaran purata tahunan.

“Kerajaan membuat anggaran pendapatan sebanyak RM37.8 bilion untuk hasil berkaitan petroleum pada 2018 semasa pembentang­an Bajet 2018, termasuk cukai pendapatan petroleum, dividen, royalti dan pendapatan sampingan daripada Petronas.

“Anggaran tersebut adalah berdasarka­n andaian purata paras minyak mentah pada AS$52 setong. Bagi tempoh 1 Januari hingga 23 Februari, 2018, purata harga minyak mentah dunia adalah pada kadar AS$67.15 secara purata,” katanya ketika menjawab soalan lisan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR-Permatang Pauh) pada Persidanga­n Dewan Rakyat di sini semalam.

Wan Azizah meminta Menteri Kewangan menyatakan jumlah terkini penambahan hasil daripada produk petroleum berikutan peningkata­n hasil minyak sejak Bajet 2018.

Secara purata, Johari berkata, bagi setiap penambahan harga minyak mentah dunia sebanyak AS$1 setong, hasil kerajaan persekutua­n dianggarka­n meningkat dalam lingkungan RM300 juta setahun.

Katanya, perbezaan AS$67 setong berbanding AS$52 setong bagi tempoh kurang dua bulan, tidak menggambar­kan impak sebenar, memandangk­an harga minyak mentah dunia bersifat turun naik.

“Sebagai contoh, sekiranya purata harga minyak dunia sepanjang tahun pada AS$67 setong, akan berlaku peningkata­n pendapatan sebanyak RM300 juta bagi setiap lebihan AS$1 setong, yang bermakna, kita akan mendapat penambahan pendapatan sebanyak RM4.5 bilion.

“Sekiranya purata tahunan (harga minyak mentah dunia) AS$ 60 setong, bermakna kita akan mendapat lebihan pendapatan sebanyak RM2.4 bilion setahun,” katanya.

Johari berkata, setiap lebihan pendapatan daripada hasil minyak, akan dimasukkan ke dalam akaun yang disatukan, untuk perbelanja­an pembanguna­n negara. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia