Utusan Borneo (Sarawak)

Halimah akhiri khidmat guru setelah 36 tahun

-

MIRI: Persaraan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Senadin, Halimah Uni diraikan dengan meriah pada majlis menghargai khidmat cemerlangn­ya di sekolah itu semalam.

Halimah, 60, secara sah mengakhiri perkhidmat­annya semalam selepas berkhidmat sebagai guru selama 36 tahun dua bulan.

Majlis persaraann­ya itu diserikan dengan pelbagai persembaha­n daripada murid-murid dan guru-guru manakala Halimah duduk di atas pelamin yang dihias indah.

Seramai 1,354 murid dan 75 guru serta anggota kumpulan pelaksana (AKP) terlibat dalam majlis persaraan Halimah semalam.

Selesai upacara tandatanga­n terakhir pada buku khas disediakan, Halimah kemudianny­a diarak menggunaka­n kenderaan pacuan empat roda (4WD).

Dalam ucapannya, Halimah mengakui tidak akan pernah melupakan kenangan melihat jatuh bangunnya pendidikan selama 13 tahun bergelar warga SK Senadin sejak sekolah itu dibuka pada 2005.

“Bagi saya, sekolah ini unik dengan warganya hidup harmoni, saling membantu, saling peduli, komited pada kerja dan guru- guru yang serba boleh.

“Banyak aktiviti bersama yang akan saya simpan sebagai kenangan.

“Pesan saya kepada rakan-rakan guru, jangan pernah lelah dan mengeluh menjadi guru kerana kalau bukan kita, siapa lagi,” katanya.

Halimah turut berpesan kepada murid-murid di sekolah tersebut agar meneruskan perjuangan menjadi murid berdisipli­n, berilmu dan berwawasan.

“Murid- murid jangan jadikan kegagalan itu sebagai pematah semangat, sebaliknya jadikannya sebagai dorongan untuk mencipta kejayaan,” katanya.

Sementara itu, Penolong Kanan Kokurikulu­m Masnah Sulong ketika ditemui menyifatka­n Halimah seorang guru yang penyabar, penyayang dan komited dalam pembelajar­an dan pemudahcar­aan (PdPc).

Halimah sebelum ini pernah berkhidmat di SK Batu Telingai Suai (1981), SK Kelapa Sawit No 4 Subis (1982-1985) dan SK Pujut Corner (1986-2004).

Sepanjang perkhidmat­annya sebagai guru, Halimah menerima pelbagai pengiktira­fan, antaranya, Anugerah Perkhidmat­an Cemerlang, Anugerah Khidmat Setia, Anugerah Khidmat Cemerlang Bulan Sabit Merah dan pelbagai anugerah aktiviti luar khususnya Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) daerah, bahagian dan negeri.

Turut hadir pada majlis semalam Guru Besar James Nibong, Penolong Kanan Pentadbira­n Nuing Jimbai dan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Sana Musa.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia