Utusan Borneo (Sarawak)

Dua beranak didakwa lakukan pengubahan wang haram RM1.245j

-

MELAKA: Bekas Setiausaha di Pusat Pembanguna­n Kemahiran Perindustr­ian Melaka (MISDEC) dan anak lelakinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan pengubahan wang haram bernilai RM1.245 juta.

Zamrud Mansor, 77, dan anaknya, Hazizul Zamrud, 44, yang merupakan Pegawai Khas MISDEC membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Noordin.

Mengikut pertuduhan satu hingga kelima, kedua- dua tertuduh dengan niat bersama didakwa melakukan pemindahan wang dan menerima faedah berjumlah RM1.225 juta iaitu hasil aktiviti haram milik Syarikat MISDEC Resources Sdn Bhd (MRSB), ke dua syarikat iaitu Digicity (M) Sdn Bhd dan I&R Precision Engineerin­g Sdn Bhd untuk tujuan peribadi.

Tertuduh melakukan tindakan tersebut di CIMB Berhad, No 30 dan 32 Jalan Mutiara Melaka 2, Batu Berendam di sini antara 9 Okt 2014 hingga 3 Ogos 2016.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika disabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta atau mana yang lebih tinggi.

Sementara itu, Hazizul turut berdepan dengan pertuduhan sama memindahka­n wang berjumlah RM20,000 dari akaun CIMB Islamic Bank Berhad ke akaun Maybank milik MISDEC di alamat sama pada 14 April 2015.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Irwan Shah Abdul Samat tidak menawarkan sebarang jaminan mengikut kepada peruntukka­n kanun prosedur jenayah bagi kesalahan itu.

Bagaimanap­un kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork merayu jaminan dibenarkan atas faktor usia Zamrud yang telah berumur manakala Hazizul pula masih berkhidmat di MISDEC dan mempunyai seorang anak yang masih kecil serta isterinya sedang mengandung.

Mohd Nasir membenarka­n jaminan RM100,000 bagi setiap tertuduh dan menetapkan 9 April depan untuk serahan dokumen. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? TIDAK MENGAKU SALAH: Zamrud dan Hazizul mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Melaka atas pertuduhan pengubahan wang haram bernilai RM1.245 juta.
— Gambar Bernama TIDAK MENGAKU SALAH: Zamrud dan Hazizul mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Melaka atas pertuduhan pengubahan wang haram bernilai RM1.245 juta.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia