Utusan Borneo (Sarawak)

Polis lepas gas pemedih mata lerai rusuhan agama di Sri Lanka

-

COLOMBO: Polis melepaskan gas pemedih mata untuk meleraikan perusuh di bahagian tengah Sri Lanka yang diletakkan di bawah perintah berkurung selepas keadaan darurat dilaksanak­an dalam usaha untuk mematahkan keganasan anti-Muslim, kata seorang pegawai semalam.

Sekurang-kurangnya tiga anggota polis cedera dalam rusuhan malam kelmarin di Menikhinna, sebuah bandar pinggiran Kandy, yang telah menjadi fokus bagi pergolakan baharu, kata jurucakap polis Ruwan Gunasekera.

Tujuh orang ditangkap kerana melanggar perintah berkurung dan cuba menyebabka­n pergolakan dalam daerah pelbagai etnik itu, yang merupakan destinasi pelancong popular.

Sekolah di seluruh Kandy, 115 kilometer ke timur Colombo, terus ditutup semalam sementara kerajaan mengarahka­n lebih ramai anggota tentera untuk membantu polis dan menghalang pergolakan daripada menular.

Kerajaan asing mengeluark­an amaran perjalanan ekoran deklarasi perintah darurat kelmarin yang memberi kuasa menyeluruh kepada polis dan pasukan keselamata­n untuk menangkap dan menahan suspek.

“Keadaan darurat mungkin termasuk perintah berkurung di lokasi khusus,” kata kerajaan Britain. “Anda harus berwaspada, mengelak protes dan rapat umum, dan mematuhi keperluan keselamata­n tempatan.”

Jabatan Negara Amerika Syarikat memberitah­u rakyatnya bahawa insiden selanjutny­a boleh berlaku dan menasihati mereka yang melawat pulau itu untuk memantau media tempatan bagi maklumat terkini.

Lebih 150 rumah, kedai dan kenderaan dibakar dalam rusuhan selama dua hari. Dua orang turut maut dalam pergolakan itu.

Ketegangan meruncing kelmarin apabila mayat seorang lelaki Muslim berusia 24 tahun dikeluarka­n dari sebuah bangunan yang terbakar.

Parlimen Sri Lanka kelmarin memohon maaf kepada masyarakat minoriti Muslim, yang merangkumi 10 peratus daripada populasi negara itu seramai 21 juta orang.

“Kami mahu memohon maaf kepada masyarakat Muslim di atas tindakan tidak berperikem­anusiaan yang telah berlaku,” kata Menteri Pembanguna­n Perusahaan Negeri Lakshman Kiriella di parlimen.

Menteri Perancanga­n Bandar Raya Rauff Hakeem menggambar­kan rusuhan itu sebagai satu “kecuaian keselamata­n yang amat besar” dan mengesyork­an tindakan disiplin ke atas mereka yang bertanggun­gjawab.

Rusuhan meletus Isnin lepas setelah seorang lelaki dari masyarakat majoriti Sinhala yang kebanyakan­nya beragama Buddha mati di tangan perusuh Muslim pada minggu lepas.

Perusuh membakar premis perniagaan milik Muslim dan menyerang sebuah masjid di timur negara pada minggu lepas setelah seorang chef Muslim dituduh menambah ubat pencegah kehamilan ke dalam makanan yang dijual kepada pelanggan Sinhala. — AFP

 ?? — Gambar Reuters ?? HURU-HARA: Anggota pasukan keselamata­n khas Sri Lanka berkawal di luar sebuah rumah yang hangus selepas rusuhan agama meletus di Digana, daerah tengah Kandy, Sri Lanka kelmarin.
— Gambar Reuters HURU-HARA: Anggota pasukan keselamata­n khas Sri Lanka berkawal di luar sebuah rumah yang hangus selepas rusuhan agama meletus di Digana, daerah tengah Kandy, Sri Lanka kelmarin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia