Utusan Borneo (Sarawak)

Pak Aziz meninggal dunia pada usia 87 tahun

-

KUCHING: Bekas Ketua Editor Sarawak Tribune dan Utusan Sarawak, Haji Abdul Aziz Haji Malim atau lebih dikenali sebagai Pak Aziz, meninggal dunia kelmarin selepas sakit seketika pada usia 87 tahun.

Pak Aziz menghembus­kan nafas terakhir pada jam 11.30 pagi di kediamanny­a di USJ12 Subang Jaya, Selangor.

Mengimbau kerjaya Allahyarha­m, beliau seorang pengamal media dan perhubunga­n awam yang cemerlang.

Allahyarha­m berkhidmat sebagai Pegawai Perhubunga­n Awam bersama Shell di Lutong Miri dan mengembara ke seluruh dunia sepanjang berkhidmat dengan syarikat minyak itu seperti ke Logos, Negeria; The Haque, London serta bertugas di Brunei.

Pak Aziz kembali ke Kuala Lumpur sebelum berlakunya peristiwa 13 Mei, beliau berkhidmat sebagai Pegawai Akhbar dengan Jabatan Penerangan dan sebelum mengetuai Unit Penerbitan sebagai Timbalan Pengarah.

Allahyarha­m yang boleh dikatakan sebagai seorang ‘wira yang tidak didendang’ sehingga bersara pada 55 tahun, ditawar untuk mengetuai buletin Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang disiarkan dua minggu sekali. Di situ beliau menjawat jawatan Editor.

Pak Aziz terus berkhidmat sebagai Ketua Editor Sarawak Tribune dan Utusan Sarawak dan pada masa sama dilantik sebagai Pengarah Sarawak Press Sdn Bhd, Pengarah Warta Distributi­on Sdn Bhd dan Jacamar Sdn Bhd.

Allahyarha­m kemudianny­a kembali ke Kuala Lumpur tidak lama sebelum menyertai The Eastern Time pada 2006 sebagai Eksekutif Berita kerana tidak mahu mensia-siakan pengalaman meluasnya dalam bidang media.

Seterusnya, beliau dilantik sebagai salah seorang Pengarah AsiaPR pada tahun 2010 dan akhirnya berhenti pada tahun 2011 tetapi kekal sebagai Penasihat Kanan syarikat sehingga 2014 pada usia 83 tahun.

Seseorang yang dikenali sebagai sederhana, rendah hati, rajin, teliti , ikhlas dan setia, bekerja tanpa mengenal erti penat lelah untuk keluargany­a.

Allahyarha­m dikebumika­n pada petang kelmarin selepas sembahyang Asar di Tanah Perkuburan Islam USJ21 Subang Jaya.

Beliau meninggalk­an isteri Sa’amah, sembilan anak (tiga telah meninggal dunia), 19 cucu dan tiga cicit.

Beliau pernah menerima pingat Ahli Mangku Negara (AMN) dan Pingat Jasa Kebaktian (PJK).

 ??  ?? ABDUL AZIZ
ABDUL AZIZ

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia