Utusan Borneo (Sarawak)

Keluarga setuju tidak ambil tindakan undang-undang terhadap DBKL

-

KUALA LUMPUR: Keluarga seorang daripada dua mangsa pokok tumbang di Jalan Ampang, pada Isnin lepas, bersetuju untuk bertolak ansur dan tidak mengambil tindakan undang- undang atas segala kesulitan menimpa anaknya iaitu Mira Ezva Abd Rashid, 25, yang terlibat kejadian itu.

Ayah mangsa, Abd Rashid Hussain berkata pihaknya telah berunding dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan mereka bersetuju untuk menanggung segala kerugian serta kos rawatan anaknya.

“Kami sudah berhubung semalam (kelmarin) dan pihak DBKL menyatakan akan bertanggun­gjawab atas apa yang berlaku berhubung insiden itu,” katanya pada sidang akhbar selepas membuat laporan polis di Balai Polis Trafik Tun H. S. Lee, di sini.

Selain itu, beliau juga ingin memperbetu­lkan laporan media bahawa anaknya, Mira Ezva dan seorang lagi mangsa iaitu Norazrul Ahmad, 37, merupakan pasangan suami isteri.

“Mereka yang terlibat dalam insiden itu bukanlah pasangan suami isteri, bahkan hanya sekadar teman biasa dan saya ingin memohon maaf bagi pihak anak saya atas apa yang dilaporkan (mereka bernikah) oleh media sebelum ini.

“Laporan itu tidak benar, Mira mungkin dalam keadaan trauma akibat hentakan kuat pada kepala hingga berkata sesuatu yang tidak benar ke- pada media,” katanya.

Abd Rashid berkata anaknya masih dalam keadaan tidak stabil dan akan dibawa ke Bagan Datuk, Perak bagi membuat rawatan susulan di sana.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.25 pagi pada Isnin lepas, Mira Ezva yang membonceng bersama Norazrul, cedera pada kepala selepas motosikal mereka melanggar sebatang pokok tumbang di Jalan Ampang semasa dalam perjalanan ke tempat kerja di Ampang Point.

Sementara itu, Norazrul yang mengalami cedera parah masih tidak sedarkan diri sejak kejadian dan sedang dirawat di Unit Penjagaan Rapi, Hospital Besar Kuala Lumpur. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia