Utusan Borneo (Sarawak)

Perkhidmat­an Timbalan Ketua Polis Negara disambung setahun

-

PUTRAJAYA: Perkhidmat­an Tan Sri Noor Rashid Ibrahim sebagai Timbalan Ketua Polis Negara akan disambung secara kontrak selama setahun, selepas tarikh persaraan wajibnya pada 17 Mac ini, demikian diumumkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata Noor Rashid akan bersara wajib pada usia 60 tahun, pada tarikh itu.

Kementeria­n Dalam Negeri sedang menunggu surat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V terhadap pelantikan itu, katanya ketika berucap pada Perhimpuna­n Bulanan dan Majlis Anugerah Perkhidmat­an Cemerlang Kementeria­n Dalam Negeri 2017 di sini semalam.

Noor Rashid dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis pada Disember 2014.

Noor Rashid yang berasal dari Yan, Kedah, memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Universiti Malaya dan memulakan perkhidmat­an dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai Penolong Penguasa Polis (ASP) pada 1984.

Sebelum ini, beberapa nama dikaitkan untuk mengisi jawatan kedua tertinggi PDRM itu, antaranya Pengarah Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi Bukit Aman Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamata­n Komuniti Datuk Tajuddin Md Isa dan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim.

Mengenai perkara lain, Ahmad Zahid berkata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd masih bertugas walaupun ada desakan supaya beliau digantung tugas atau diarah bercuti ekoran siasatan Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah (SPRM).

SPRM dilaporkan telah membuka kertas siasatan terhadap Wan Ahmad Najmuddin selepas laporan dibuat mengenai pegawai kanan polis itu mempunyai akaun bank Australia yang menerima deposit sejumlah besar wang, dan kini dibekukan.

“Beliau telah menjelaska­n mengenai akaun bank beliau di Australia itu,” kata timbalan perdana menteri.

Ahmad Zahid berkata SPRM atau mana-mana agensi boleh menyiasat Wan Ahmad Najmuddin tetapi beliau boleh bertugas seperti biasa dan tidak perlu bercuti.

Sydney Morning Herald melaporkan Polis Australia telah membekukan AUD$320,000 (RM975,792), yang dipindahka­n tanpa mematuhi undang-undang Australia ke dalam akaun Australian Commonweal­th Bank Wan Ahmad Najmuddin pada 2016. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia