Utusan Borneo (Sarawak)

Kartunis EG dibebas selepas kena tahan reman 5 bulan

-

LIBREVILLE: Seorang kartunis yang ditahan reman selama lebih lima bulan di Equatorial Guinea (EG) telah dibebaskan kelmarin, kata sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO).

Ramon Esono Ebale, yang bekerja di bawah nama samaran ‘Ham and Cheese’, ditangkap kerana karya “yang kerap mengkritik kerajaan Equatorial Guinea”, kata Kesatuan Afrika sebelum ini.

Ketika mengesahka­n pembebasan­nya, pengarah kumpulan hak asasi manusia yang berpangkal­an di Amerika Syarikat, EG Justice, Tutu Alicante, menyebut dalam satu kenyataan: “Pembebasan Ramon adalah bukti bagi kuasa usaha kolektif oleh ratusan artis, warga yang prihatin dan NGO.”

Pada 27 Februari lepas pada permulaan perbicaraa­nnya di ibu negara Malabo, pendakwa raya Rafael Ondo Nguema meminta Ebale dibebaskan, dengan menyatakan “bukti jelas tidak ada”.

Ebale ditangkap pada pertengaha­n September lalu dengan kerajaan yang membuat pengumuman bahawa dia ditahan kerana “pemalsuan dan pengubahan wang”. Mereka mendakwa wang palsu bernilai sejuta CFA franc (RM7,050) telah dijumpai di rumahnya.

Ebale, yang berasal dari EG, tinggal di Paraguay sebelum dia kembali untuk memperbaha­rui pasportnya dan ditangkap.

Menurut Jabatan Keadilan EG, penangkapa­n Ebale ada kaitan dengan penerbitan sebuah novel grafik pada Mei 2016 bertajuk ‘Obi’s Nightmare’ sempena Presiden Teodoro Obiang Nguema.

Penerbitan itu menggambar­kan Obiang sebagai seorang warga biasa Guinea, dan mengetenga­hkan kekurangan akses kepada bekalan elektrik, penjagaan kesihatan dan pendidikan serta sekatan ke atas kebebasan bersuara di EG. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia