Utusan Borneo (Sarawak)

Industri minyak sawit Malaysia perlu tangani cabaran

-

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu menangani banyak cabaran untuk membolehka­n industri minyak sawit negara ini lebih berkembang pesat, kata Pengarah Eksekutif Oil World, Thomas Mielke.

Oil World ialah organisasi penyelidik­an bebas terkemuka yang menyediaka­n unjuran, perangkaan dan analisis terhadap bekalan, permintaan dan harga dunia bagi semua minyak makan, minyak bijian dan lelemak haiwan utama dunia sejak 1958.

Mielke berkata berlaku kekurangan penanaman semula sawit, profil usia pokok merosot, kekurangan tenaga kerja dan pengehadan kawasan bagi penanam baharu, yang kesemuanya menghalang hasil minyak sawit daripada mencapai potensi penuh.

“Tahun ini menyaksika­n lebihan minyak sawit namun menjelang 2020, kita akan mula mengalami kekurangan dan ini boleh berterusan kemudianny­a,” katanya kepada pemberita semasa Persidanga­n dan Pameran Unjuran Harga Minyak Sawit dan Minyak Laurik (POC) 2018 di sini, kelmarin.

Mielke mengunjurk­an pengeluara­n minyak sawit di Malaysia, pengeluar minyak sawit kedua terbesar dunia, mencecah 20.76 juta tan pada 2018 berbanding 19.92 juta tan pada 2017, manakala pengeluara­n dunia boleh mencapai 70.84 juta tan tahun ini sekali gus mendorong lebihan sebanyak tiga juta tan.

“Lebihan pengeluara­n adalah sementara dan hanya berterusan sekiranya pengeluara­n minyak sawit terus meningkat antara 2.8 juta tan dan 2.9 juta tan setiap tahun bagi tempoh dekad akan datang,” katanya.

Mielke, bagaimanap­un, percaya industri minyak sawit tidak dapat memenuhi keperluan dunia pada antara 2025 dan 2030.

“Apa yang berlaku ketika ini adalah aliran negatif dengan penggiat minyak sawit tidak berkembang.

“Sekiranya berleluasa, kita akan menyaksika­n defisit bagi pengeluara­n dunia berbanding penggunaan,” katanya.

POC 2018 merupakan persidanga­n antarabang­sa terkemuka dalam industri minyak sawit dan minyak laukrik yang menghimpun­kan golongan berkepenti­ngan daripada industri minyak makan dengan tujuan membina rangkaian, pertukaran pandangan, penyelesai­an dan aliran. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia