Utusan Borneo (Sarawak)

Polis rampas dadah bernilai RM50,000 di Raub

-

RAUB: Belum sampai lima bulan dibebaskan dari penjara, seorang lelaki sekali lagi ditahan setelah polis menemui sejumlah dadah bernilai RM50,000 dalam kenderaan yang dipandunya, di Batu 7, Jalan Raub-Cheroh menghala ke Sungai Koyan di sini Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Raub Supt Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata dalam kejadian pada jam 6.30 petang itu, polis terpaksa mengejar lelaki itu sehingga 10 kilometer sebelum berjaya menahan kenderaan Perodua Alza yang dipandunya di hadapan sebuah stor di Jalan Cheroh.

“Sebelum itu anggota polis yang melakukan rondaan cuba untuk menahan sebuah kereta didapati berada dalam keadaan mencurigak­an di hadapan stesen bas lama Raub.

Bagaimanap­un sebaik menyedari kehadiran polis, suspek bertindak memecut kenderaan itu.

“Selepas mengejar lebih 10 kilometer, kereta yang dipandu suspek terbabas di tepi Jalan Cheroh sebelum dia keluar daripada kenderaan itu untuk melarikan diri menyebabka­n berlaku pergelutan ketika polis hendak menahannya,” kata beliau kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata hasil pemeriksaa­n lanjut terhadap kenderaan itu, polis menemui dadah jenis heroin seberat 228.85 gram dan syabu 78.13 gram di bahagian tempat duduk penumpang dan ia merupakan rampasan terbe- sar di Raub setakat ini.

Selain itu, beliau berkata polis turut merampas wang tunai RM205 dipercayai hasil penjualan dadah.

Katanya siasatan awal juga mendapati kenderaan itu menggunaka­n nombor pendaftara­n palsu selain merupakan kereta curi dan dilaporkan hilang di Petaling Jaya pada 23 Dis tahun lepas.

Wan Zahari berkata suspek yang mempunyai empat rekod jenayah lampau kini ditahan reman sehingga Khamis ini, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B (1) dan 39B (2) Akta Dadah Berbahaya 1952, serta Seksyen 42( 1) Akta Pengangkut­an Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia